malaysiakini logo
story-image
story-image
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Projek tebatan banjir perlu mula di Paya Jaras - Pejabat tanah
ADS

Projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kedondong yang dibiayai kerajaan negeri Selangor perlu dimulakan bagi mengelakkan lebih banyak kerugian disamping dapat menyelesaikan masalah banjir kepada penduduk di Kampung Paya Jaras, Sungai Buloh.

Menurut Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, projek tebatan sungai itu telah mengalami kelewatan sejak 2 Disember 2015 dan telah diaudit dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada 3 Disember 2018.

"Projek ini perlu dimulakan bagi mengelakkan lebih banyak kerugian. Kelewatan pelaksanaan ini mengakibatkan bahan-bahan pembinaan seperti geotextile, erosion control blanket dan MSE wall system yang telah berada di tapak menjadi rosak kerana terbiar dan tidak digunakan.

"(Sehubungan itu) agar ia dapat memberi manfaat penyelesaian banjir kepada penduduk di empat buah kampung iaitu Kampung Paya Jaras Hilir, Kampung Paya Jaras Tengah, Kampung Paya Jaras Dalam dan Kampung Paya Jaya Hulu,’’ kata pejabat daerah itu menerusi kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Pada Rabu lalu, pihak berkuasa negeri telah merobohkan 36 struktur rumah penduduk di Kampung Paya Jaras Hilir yang dibina di atas tanah rizab milik kerajaan negeri Selangor bagi meneruskan projek tebatan sungai untuk mengatasi masalah banjir.

Projek tersebut telah dimulakan sejak 2015 namun terpaksa ditangguhkan sebanyak tiga kali iaitu pada 20 Julai 2016, 22 Februari 2017 operasi terkini yang dijadula pada 5 September 2019 juga terpaksa ditangguh.

Penangguhan kali ketiga pada 16 September 2019 bertujuan untuk memberi laluan kepada anak-anak penduduk kampung yang menduduki peperiksaan UPSR, juga sebagai masa tambahan kepada penduduk untuk mengosongkan tapak secara sukarela.

Tindakan operasi penguatkuasaan itu dibuat di bawah Seksyen 425, Kanun Tanah Negara iaitu pendudukan secara tidak sah di atas tanah kerajaan.

Wakil penduduk, Azroy Abdul Manaf mendakwa, pihak berkuasa tidak menjalankan operasi mengikut prosedur dan mereka tidak diberikan notis perobohan secara bertulis sehinggalah operasi berkenaan dijalankan secara mengejut pada 18 September manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman pula menafikan dakwaan tersebut.

Buat masa ini, penduduk yang terjejas perlu menetap di penempatan sementara (kanopi) di sekitar kawasan kampung berkenaan.

Lihat Komen