malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
3 entiti berkait 1MDB didakwa gagal serah penyata kewangan
ADS

Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendakwa Nik Faisal Ariff Kamil (gambar, atas), Suboh Mohd Yassin dan Gandingan Mentari Sdn Bhd yang berkait dengan 1MDB gagal mengemukakan penyata kewangan tahunan bagi 2017.

Hal tersebut didedahkan semasa prosiding mahkamah terbuka di hadapan hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Manira Mohd Nor hari ini.

Pegawai pendakwa raya SSM Nur Nazhzilah Mohammad Hashim memberitahu mahkamah bahawa mereka tidak dapat menyampaikan saman kepada Nik Faisal Suboh dan Gandingan Mentari.

Difahamkan mahkamah menetapkan hari ini sebagai tarikh sebutan pertama kes itu, yang mana Nik Faisal, Suboh dan Gandingan Mentari dikatakan gagal mengemukakan penyata kewangan tahunan 2017 kepada SSM sejajar dengan peruntukan di bawah Akta Syarikat 1965.

Tiga kes berasingan disenaraikan untuk didengar di hadapan hakim Manira di bawah senarai kausa dalam talian pada pautan https://ecourt.kehakiman.gov.my.

Manira kemudian menetapkan 4 Oktober depan bagi sebutan untuk membenarkan SSM menyampaikan saman berkenaan kepada dua individu dan syarikat itu.

Nik Faisal, Suboh, wakil Gandingan Mentari atau peguam mereka tidak hadir di mahkamah.

Difahamkan orang yang dipanggil mahkamah perlu disampaikan saman itu sebelum mereka perlu hadir prosiding.

Suboh (gambar) dikaitkan dengan perbicaraan SRC International yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Suboh telah memberi keterangan bahawa dia menandatangani surat permintaan pemindahan dana untuk memindahkan jutaan ringgit daripada SRC International kepada anak syarikatnya Gandingan Mentari dan rakan kongsi tanggung jawab sosial korporatnya (CSR), Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Pada 20 Jun lalu, bekas pengarah SRC International, Suboh dipanggil sebagai saksi pendakwaan untuk memberi keterangan mengenai perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa menyelewengkan RM42 juta dana SRC International.

Bekas ketua pegawai eksekutif SRC International Nik Faisal, individu penting dalam siasatan SPRM terhadap skandal 1MDB, masih gagal dikesan dan masih diburu oleh pihak berkuasa.

Semasa perbicaraan SRC International, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussain memberi keterangan bahawa Nik Faisal meninggalkan Malaysia pada 7 Mei 2018, dua hari sebelum pilihan raya umum ke-14.

Gandingan Mentari, yang merupakan anak syarikat SRC International, adalah sebahagian daripada pokok perkara mengenai jejak kewangan dalam pendengaran kes SRC International Najib.

Sebelum ini anak syarikat dana pelaburan negara 1MDB yang bermasalah iaitu SRC International kemudiannya bertukar tangan pemiliknya dan pada tahun 2012 diletakkan di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

[Baca berita asal]

Lihat Komen