malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Berasaskan projek, ajar bahasa ketiga - Pakar kongsi bentuk sekolah kebangsaan impian
ADS

Ramai yang akan bersetuju dengan pandangan bahawa mutu sekolah rendah kebangsaan (SRK) boleh dan perlu diperbaiki.

Pada bulan lalu, laporan khas Malaysiakini memaparkan semakin ramai ibu bapa, terutama bukan bumiputera, yang memilih sekolah vernakular (SJKC atau SJKT) atau sekolah swasta untuk anak mereka.

Antara sebab mereka tidak memilih SRK ialah tanggapan bahawa mutu pengajaran di sana rendah, budaya buli, perkauman dan Islamisasi.

Perkara ini bukan saja menyebabkan kurangnya interaksi antara kaum di kalangan kanak-kanak dan remaja, tetapi peningkatan populariti sekolah swasta juga meluaskan lagi jurang antara kelas pendapatan.

Profesor Teo Kok Seong dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata masalah ini dapat diselesaikan dengan menggabungkan sekolah vernakular, sekolah agama dan sekolah rendah kebangsaan dalam satu sekolah satu aliran.

Di sekolah itu, pelajar akan belajar mata pelajaran akademik, bahasa ibunda, budaya dan agama masing-masing, dalam sesi yang berjalan dari jam tujuh pagi hingga tiga petang.

Bagaimanapun cadangan itu memerlukan pemansuhan pendidikan vernakular dan ia sangat sukar untuk dilaksanakan.

Beberapa pakar lagi percaya ada cara lain untuk menjadikan sekolah rendah kebangsaan sebagai sekolah pilihan untuk semua ibu bapa di Malaysia.

Mereka berkongsi SRK impian mereka dengan Malaysiakini:

Sekolah projek - Chan Soon Seng

Pengarah Program Teach For Malaysia

 SRK yang diimpikan Chan tidak semata-mata bertumpu kepada mata pelajaran dan pencapaian akademik, tapi mengambil pendekatan fleksibel berasaskan projek.

Menerusi projek yang dilaksanakan, pelajar akan belajar pelbagai kemahiran serta ilmu dari pelbagai disiplin, selain berpeluang mengaplikasikan teori yang dipelajari.

Pendekatan iniakan menjadikan jadual waktu kurang rigid dan memberi peluang kepada setiap pelajar untuk belajar, berehat dan bermain mengikut kebolehan masing-masing.

Penilaian juga akan lebih spesifik. Chan mengesyorkan ia mengambil kira unsur bukan akademik, dan setiap penilaian dirangka dengan mengambil kira tahap kemajuan setiap pelajar dalam pembelajaran.

Beliau juga mengesyorkan pembelajaran di SRK dijalankan dalam pelbagai bahasa, bukan Bahasa Melayu sahaja seperti sekarang.

Untuk pelajar tahap rendah (Tahun 1 dan 2), beliau berkata pembelajaran dibuat dalam bahasa ibunda masing-masing, dengan peralihan ke sistem dwibahasa - Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris - dibuat di tahap tinggi (Tahun 3 hingga 6).

Di peringkat itu, pelajar akan tetap belajar bahasa ibunda melalui satu subjek lain, dan bagi pelajar dengan bahasa ibundanya BM atau BI, mereka boleh belajar bahasa ketiga.

Kelas agama akan diadakan selepas sekolah dan pembelajaran tentang agama-agama utama di Malaysia akan diterapkan secara 'thematic' dalam projek-projek sekolah.

Bagi Chan, cara paling berkesan untuk memupuk perpaduan adalah dengan menggalakkan budaya dialog terbuka di sekolah.

Ini akan memberikan pelajar kemahiran menyelesaikan konflik - yang tidak dapat dielakkan ekoran perbezaan budaya. Kemahiran ini juga akan dapat dipelajari oleh para guru.

Sekolah 4R - Wan Wardatul Amani Wan Salim 

Penolong profesor kejuruteraan bioteknologi UIAM dan anggota badan pemikir Adiwara Avengers

Bagi Amani, SRK perlu menumpukan pengajaran empat jenis kemahiran asas - membaca, menulis, mengira dan algoritma. Kemahiran yang disebut sebagai 4R ini membolehkan pelajar menguasai mata pelajaran yang lebih kompleks di masa hadapan.

Pengajaran akan dikendalikan dalam bahasa kebangsaan untuk menyatukan semua pelajar, dan guru diberikan kebebasan untuk mencuba kaedah pengajaran yang lebih menyeronokkan.

SRK impian Amani juga akan meningkatkan tahap pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris. Moral dan sivik tidak menjadi mata pelajaran tetapi akan diterapkan dalam semua mata pelajaran lain.

Pelajar akan digalakkan belajar bahasa ketiga tetapi kelas bahasa ketiga dan kelas agama hanya diadakan selepas sesi persekolahan.

Seperti Profesor Teo, beliau juga percaya sebuah sistem pendidikan gabungan dan penambaikan SRK akan menjadikan sekolah vernakular ditamatkan secara sendiri secara beransur-ansur.

Sekolah Input Ibu Bapa - Chong Kok Boon

Felo kanan Universiti Sunway, bidang reformasi pendidikan dan dasar sumber tenaga

 Cadangan yang tampak paling radikal adalah daripada Chong, yang mengesyorkan ibu bapa mengambil alih sebahagian kuasa untuk menetapkan kurikulum yang kini di tangan kementerian.

Beliau mengimpikan sebuah SRK di mana ibu bapa memutuskan bahasa pengantar di sekolah, mata pelajaran tambahan yang akan diajar, kegiata kokurikulum serta jenis tindakan dan hukuman disiplin.

Bagaimanapun baginya kementerian tetap akan menetapkan 60 peratus kurikulum. Selebihnya ditetapkan oleh ibu bapa.

Selain itu ibu bapa boleh mengajar di sekolah ini secara sukarela, dan diberi insentif dalam bentuk rebat cukai. Begitu juga dengan graduan universiti yang ada tunggakan hutang PTPTN, mereka boleh menjadi guru separuh masa secara sukarela untuk menjelaskannya.

Pendekatan ini memenuhi keperluan tempatan dan lebih fleksibel. Misalnya kejadian antarabangsa seperti krisis kewangan dunia boleh diajar di sekolah tanpa mengambil masa mata pelajaran yang sukatannya ditetapkan oleh kementerian.

Chong berpendapat pendekatan ini akan menarik semua ibu bapa kembali kepada SRK.

Sekolah berperwatakan kebangsaan - Profesor Denison Jayasooria

Felo utama UKM dalam hubungan etnik dan dasar kerajaan

 Bagi Denison, semua sekolah berlainan aliran - sama ada sekolah kebangsaan, sekolah vernakular dan sekolah agama - menyumbang kepada identiti dan sejarah Malaysia, dan ia perlu diraikan.

Namun beliau mengakui sekolah-sekolah ini tidak mempunyai apa yang dikatakannnya sebagai unsur ‘perwatakan kebangsaan Malaysia’.

Beliau mencadangkan semua aliran sekolah mesti memupuk perwatakan kebangsaan dengan mengadakan perhimpunan dalam bahasa Melayu, mengajar apresiasi budaya dalam kelas dan menyambut hari kebesaran semua kaum dan agama utama di Malaysia.

Beliau percaya ini dapat memupuk pemilikan pelbagai budaya (multicultural) di kalangan pelajar dan menyatukan mereka, walaupun mereka belajar di sekolah aliran berbeza.

Denison juga mencadangkan agar sekolah aliran bahasa Inggeris dikembalikan yang menurutnya boleh wujud selari dengan sekolah kebangsaan yang diajar dalam bahasa Melayu, SJKC yang menggunakan bahasa Cina dan SJKT bahasa Tamil.

Beliau percaya ia akan menarik ibu bapa daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi untuk kembali menghantar anak mereka ke sistem pendidikan kebangsaan.

Baca:

Arah mana perpaduan? Bagaimana anak-anak kita membesar dalam kepompong berasingan

Kaji selidik: Rakyat M'sia berbelah bahagi terhadap pendidikan satu aliran

Lihat Komen