malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Sebutan kes pengubahan wang haram AS$248 juta anak tiri Najib pada 24 Sept
Diterbitkan:  Sep 20, 2019 12:16 PM
Dikemaskini: 4:16 AM
ADS

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini menetapkan 24 Sept untuk sebutan kes Riza Shahriz Abdul Aziz, anak tiri kepada bekas perdana menteri Najib Razak yang didakwa atas tuduhan pengubahan wang haram berjumlah AS$248 juta (RM1.25 bilion), hasil daripada penyelewengan dana 1MDB.

Hakim Rozina Ayob menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam memaklumkan pihaknya masih belum dapat melengkapkan beberapa dokumen berhubung kes itu.

“Pihak pendakwaan perlu mendapatkan beberapa dokumen daripada Amerika Syarikat namun memerlukan sedikit masa kerana dokumen itu dari luar negara. Beberapa dokumen lain telah diserahkan kepada pihak pembelaan mengikut Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya semasa sebutan kes hari ini.

Peguam Hariharan Tara Singh yang mewakili Riza, 42, mengesahkan perkara itu namun meminta pihak pendakwaan menyerahkan semua dokumen seawal mungkin.

Mohamad Mustaffa berkata pihaknya akan mempercepatkan proses untuk mendapatkan semua dokumen berkaitan kes itu.

Hariharan memaklumkan pihak pembelaan telah memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi pada 16 Ogos lepas dan Mahkamah Tinggi menetapkan 23 Sept untuk pendengaran.

Mohamad Mustaffa ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata, pihak pendakwaan membantah permohonan pembelaan dan berharap kes itu dapat diteruskan di Mahkamah Sesyen.

Pada 5 Julai lepas, Riza, pemilik syarikat Red Granite Pictures, mengaku tidak bersalah atas lima pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, penerbit filem Wolf of The Wall Street itu didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah AS$1.173,104 melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 11116073 milik Good Star Limited di RBS Coutts, Zurich, Switzerland ke akaun City National Bank, Los Angeles, AS bernombor 123248291 milik Red Granite Productions Inc.

Wang berkenaan didakwa hasil daripada penyelewengan ke atas dana 1MDB.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 April dan 12 Mei 2011 di City National Bank, Los Angeles Main, 525 South Flower Street, Los Angeles, California, AS.

Riza, anak Rosmah Mansor hasil perkahwinan terdahulu, dituduh melakukan kesalahan sama melibatkan AS$9 juta melalui transaksi pemindahan wang dari akaun serupa pada 10 Sept, 2012 dan 10 Okt, 2012 di tempat sama.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, dia didakwa melakukan perbuatan sama berjumlah AS$133 juta dan AS$60 juta melalui satu transaksi pemindahan wang daripada akaun bernombor 81134378 milik Aabar Investment PJS Limited di BSI SA, Lugano, Switzerland ke akaun BSI Bank Limited Singapura bernombor 6C02250A milik Red Granite Capital Ltd.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di BSI Ltd, 7 Temasek Boulevard, #32-01 Suntec Tower One, Singapura pada 18 Jun, 2012 dan 23 Okt, 2012.

Mengikut pertuduhan kelima tertuduh didakwa melakukan kesalahan serupa berjumlah AS$45 juta di tempat sama pada 14 Nov, 2012.

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

- Bernama

Lihat Komen