malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
3 faktor penentu berjaya atau gagalnya #HPU914
ADS

ULASAN | Ternyata, himpunan penyatuan ummah pada hujung minggu lalu yang membawa kepada termeterainya Piagam Muafakat Nasional membawa kesan yang bukan sedikit kepada landskap politik negara,

Himpunan itu menyebabkan ramai ahli-ahli politik termasuk para menteri dalam kerajaan hari ini menunjukkan sikap gundah-gulana.

Mana tidaknya, puluhan ribu ahli-ahli Umno dan PAS yang membanjiri Dewan Merdeka dan berkeliaran di sekitar Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Itu sudah cukup untuk menggambarkan kekuatan kedua-dua parti orang Melayu itu selain tontonan di laman-laman Facebook yang dianggarkan mencecah ratusan ribu penonton.

Paling menyayat hati, ada di kalangan ahli Umno dan PAS - yang sebelum ini musuh ketat - tidak dapat menahan sebak lalu berlinangan air mata sebagai tanda kesyukuran susulan kerjasama dua parti Melayu terbesar.

Dendangan lagu PAS juga buat kali pertama bergema dalam bangunan Umno.

Namun begitu, bukan sahaja ahli Umno mahupun PAS, semua tahu kedua-dua parti itu, walaupun Umno masih ada BN yang dianggotai MCA dan MIC, tidak akan mampu menawan semula Putrajaya dari Pakatan Harapan jika hanya mengharapkan undi Melayu semata-mata.

Untuk menjadi kerajaan semula, Umno, PAS, MCA dan MIC perlu menyakinkan semua rakyat Malaysia bahawa kerjasama antara mereka bukan sekadar atas faktor bangsa dan agama, malah perlu lebih menyeluruh kepada keadilan buat semua tanpa apa satu kaum yang terpinggir atau berada dalam kelas kedua.

Sebab itu, Umno dan PAS menggalakkan kehadiran pimpinan MCA serta MIC ke himpunan tersebut bagi menunjukkan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka masih mempunyai parti alternatif untuk pengundi berbangsa Cina dan India dalam pertembungan dengan PH pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Mampu pulang ke Putrajaya?

Namun, persoalannya yang berlegar-legar di fikiran kita semua, apakah semua ini mencukupi untuk meletakkan kembali gandingan BN, PAS ini ke Putrajaya?

Terdapat tiga faktor penting untuk menentukan kejayaan atau kegagalan Muafakat Nasional ini.

Pertama, Muafakat Nasional, selaku dua parti utama dalam kerjasama parti yang terlibat, perlu menjawab siapakah tokoh yang akan ditonjolkan sebagai perdana menteri jika mereka memenangi PRU15 nanti.

Mahathir dan Anwar - dua pemimpin paling kanan dalam PH

Ini kerana sudah pasti PH akan meletakkan Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri sekiranya Dr Mahathir Mohamad berundur.

Ini sangat penting kerana dalam sejarah politik Malaysia, siapa akan dilantik menjadi PM menjadi pertimbangan paling utama di kalangan pengundi, sama ada tua atau muda, sebelum memilih parti mana yang mereka akan pangkah.

Kedua, Umno perlu dengan segera melantik sebagai setiausaha agung BN yang baru kerana pemimpin kanan MCA dan MIC sendiri dikatakan sudah bersetuju mengenainya.

Media sudah membuat spekulasi berkaitan kemahuan Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk melantik Hishammuddin Hussein ke jawatan tersebut.

Hishammuddin Hussein 

Makanya, usaha baik ini perlu disegerakan bagi mengelak prasangka mahupun tanggapan salah di kalangan ahli-ahli akar umbi semua parti terbabit.

BN memerlukan pemimpin yang terbukti taat setia pada parti, terutama selepas PRU14, dan pendekatan mesra rakyat pelbagai bangsa. Pemimpin sebegini wajar diberikan amanah dan tanggungjawab lebih besar dengan menjadi tulang belakang BN.

BN juga memerlukan pemimpin yang mempunyai hubungan erat dengan pimpinan parti lain, sama ada dalam BN atau luar gabungan itu terutama di Sabah dan Sarawak. Ia sudah pasti meningkatkan peluang BN untuk kembali menawan Putrajaya pada PRU15 nanti.

Ketiga, Umno sebelum ini hanya mengharapkan beberapa agensi kerajaan dalam membantunya mengadakan kempen penerangan yang ternyata gagal berbanding PH pada PRU14.

Keadaan mampu berubah

Kini, adakah Umno mampu menggembeling keringat ahli-ahlinya dan PAS untuk menandingi kempen lawannya yang sudah terlalu maju ke hadapan?

Umno perlu menggerakkan kekuatan jutaan ahli mereka dan PAS bukan sahaja melalui ceramah di segenap pelusuk kampung.

Kedua-dua parti harus juga memikirkan cara untuk mendekati pengundi pada setiap hari di telefon bimbit terutama anak-anak muda yang akan mengundi buat kali pertama pada PRU15.

Justeru, Umno dan PAS harus dan perlu memikirkan semasak-masaknya hal ini jika matlamat mereka bekerjasama itu adalah untuk mengalahkan PH pada PRU15 nanti kerana jika pilihan raya umum seterusnya tidak lagi milik mereka, maka gelaplah masa depan kedua-duanya.

Ingatlah, walaupun sentimen kebencian terhadap PH hari ini nampaknya tidak begitu baik ekoran kegagalan menunaikan manifesto serta keadaan ekonomi negara yang masih suram, Muafakat Nasional seharusnya berfikir melangkaui hari ini.

Banyak perkara mampu berubah dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang.




WAN AMIRUL WAN ZAKI ialah seorang pemerhati politik Umno.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen