malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Krisis Kashmir dan masa depan sektor pelancongan
ADS

ULASAN | Perjalanan menelusuri Bukit Gulmarg yang dipenuhi salji tebal sungguh mengasyikkan. Andai ada serpihan syurga terjatuh di bumi, ia mungkin terletak di wilayah Kashmir dan Jammu.

Keindahan itu turut terserlah pada budaya rakyatnya yang menarik serta sikap ramah mereka.

Majoriti penduduk di sana juga akan memakai pakaian tradisional. Misalnya pada musim sejuk, mereka memakai sejenis kot longgar yang dipanggil Pheran.

Sementara itu, bahasa utama Kashmir pula adalah Urdu manakala bahasa-bahasa lain yang digunakan di wilayah itu adalah Kashmiri, Ladakhi dan Dogri.

Namun begitu, kecantikannya hanya pada luaran sahaja kerana jika disingkap mengenai wilayah itu, ia sering bergolak dan menjadi pertikaian antara India, dan negara jiran Pakistan.

Anehnya, ia kembali membara setelah Kashmir kebelakangan ini menjadi popular dikalangan pelancong untuk mengunjungi tempat umum dipanggil ’syurga dunia’ itu.

Jika kembali membuka kitab sejarah lama krisis tersebut, ia bermula ketika proses kemerdekaan membabitkan India dan Pakistan pada 1947 sehingga meninggalkan kesan mendalam terhadap hubungan antara kedua-dua buah negara itu.

Mengapa Kashmir menjadi rebutan? Ini kerana struktur geopolitiknya yang sangat strategik dan wilayah itu dapat memberi nilai komersial yang tinggi.

Bagi India, wilayah itu menjadi tempat paling dekat dengan musuh tradisinya iaitu Pakistan dan mempunyai nilai sektor pelancongan yang menarik.

Manakala bagi Pakistan pula wilayah itu sendiri mempunyai majoriti penghuni Islam dan negara itu akan senang meraih sokongan dari rakyat di sana.

Presiden India Narendra Modi pada 5 Ogos lalu bertindak mengeluarkan dekri membatalkan Perkara 370 dalam Perlembagaan India yang memansuhkan hak istimewa Kashmir sebagai wilayah autonomi.

Perkara 370 ini melarang warga India dari luar wilayah berkenaan daripada menetap secara tetap, membeli hartanah, mendapatkan pekerjaan kerajaan tempatan dan biasiswa pendidikan.

Menurut Modi, perkara berkenaan dilakukan bagi membantu ekonomi Kashmir kerana walaupun Kashmir memiliki potensi dalam pelbagai aspek, namun rakyat dan wilayah itu masih lagi dibelenggu masalah kemiskinan.

Bagaimanapun, penduduk Kashmir naik berang apabila India meletakkan wilayah tersebut di bawah kawalan pihak tentera sepenuhnya serta menyekat talian telefon dan internet sehingga menyebabkan lebih tujuh juta penduduk Kashmir tidak boleh berhubung dengan masyarakat luar.

Media dan akhbar tempatan Kashmir juga disekat daripada menyampaikan maklumat kepada orang luar.

Tambahan pula, terdapat penyokong parti pemerintah di India yang secara sengaja menimbulkan kebimbangan penduduk Kashmir apabila menyatakan impian pemuda India kini adalah untuk mendapatkan tanah, pekerjaan dan juga mengahwini wanita Kashmir.

Kashmir sendiri merupakan wilayah yang dibenarkan mempunyai pemerintahan sendiri namun tidak pada struktur ketenteraannya kerana ia akan berpihak kepada kuasa besar yang menjaga wilayah tersebut iaitu India sendiri.

Namun begitu, penindasan terhadap rakyat di Kashmir dirasakan tidak wajar kerana ia melibatkan ribuan korban nyawa manusia yang sudah tidak terkira jumlahnya.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah berbincang untuk terus meneliti dan memerhati isu ketegangan di wilayah Kashmir itu.

Akan tetapi, wajar juga kita membuka mata dan merenung sebentar adakah benar tindakan dekri presiden oleh Modi itu dapat membantu wilayah itu?

Jika benar, tidak perlu sehingga membatalkan hak autonomi berkenaan. Maka nya, kita boleh lihat dari aspek lain iaitu pengaruh kuasa politik.

Presiden Pakistan Imran Khan merupakan presiden yang baru dilantik dan masih bertatih dalam mentadbir negaranya, jadi sejauh mana dakwaan kerajaan itu campur tangan secara mendalam atas pemansuhan Perkara 370 Perlembagaan India itu.

Modi pula mengambil kesempatan dengan merebut peluang untuk meraih sokongan dari wilayah itu dengan membuka pintu bagi rakyat lain turut menumpang di Kashmir.

Tidak mengalah, Imran Khan kini bertindak untuk meminta sokongan dari beberapa negara bagi menyelesaikan pertelingkahan tersebut.

Memetik portal Reuters, Imran turut meminta Presiden Amerika Syarikat Donald Trump menjadi orang tengah menyelesaikan perkara berkenaan.

Perdana Menteri Malaysia, Dr Mahathir Mohamad turut berkata akan membantu bagi menyelesaikan konflik yang terjadi antara dua negara itu.

Awal September lalu dilaporkan Modi bertemu dengan Dr Mahathir di luar acara Sidang Kemuncak Ekonomi Timur di Vladivostok, Rusia.

Modi juga dilaporkan mengambil masa yang panjang untuk menjelaskan keadaan di Jammu dan Kashmir manakala Mahathir pula menjelaskan pendirian Malaysia bahawa semua pihak mesti mematuhi resolusi PBB.

Penduduk Jammu dan Kashmir yang terletak di rantau Himalaya majoritinya beragama Islam. 

Wilayah itu terbahagi dua masing-masing dikuasai India dan Pakistan. Kedua-dua pihak menuntut untuk menguasai sepenuhnya dua wilayah berkenaan.

Sejak 1947, India dan Pakistan telah tiga kali berperang - pada 1948, 1965 dan 1971 - dua daripadanya untuk menguasai Kashmir.

Jika diceritakan lagi, ia mungkin akan tambah rumit. Serumit pertikaian dua negara itu yang dikira tiada titik noktahnya.

Semoga wilayah itu kembali reda daripada segala konflik dan pertelingkahan manakala pelancong pula dibenarkan melawat ke Kashmir untuk terus dijamu hidangan nikmat pemandangan keindahan syurgawi di bumi ini.


Ramieza Wahid ialah wartawan Malaysiakini.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen