BERITA

Rugi akibat tersilap bayar gaji pekerja sudah berhenti

18 Sep 2019, 3:47 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Seorang pengurus sumber manusia sebuah syarikat di taman perindustrian di Kuantan mendakwa kerugian RM7,298 kerana tersilap membayar gaji kepada kakitangan yang telah berhenti.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata lelaki yang berusia 27 tahun mendakwa wang itu dikreditkan ke dalam akaun milik dua bekas pekerja bagi pembayaran gaji Ogos, sedangkan mereka telah meletak jawatan pada Julai lalu.

"Pengadu mendakwa telah menghubungi bekas pekerja itu untuk memulangkan semula wang tersebut namun dimaklumkan mereka enggan memberikan kerjasama,” katanya kepada pemberita di Kuantan, hari ini.

Mohd Wazir berkata pengadu membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, Mohd Wazir berkata seorang pekerja am mendakwa kerugian RM5,480 selepas membuat permohonan pinjaman wang dengan syarikat tidak wujud sejak 30 Ogos lalu.

Mangsa mendakwa berurusan dengan wakil syarikat tersebut menerusi nombor telefon pada iklan di laman sosial yang memaklumkan pinjaman sebanyak RM10,000 telah diluluskan.

“Bagaimanapun, mangsa diarahkan untuk membuat bayaran pemprosesan pinjaman terlebih dahulu yang dijelaskan menerusi transaksi atas talian sebanyak sembilan transaksi dalam tempoh dua hari bermula 7 Sept lalu,” katanya.

Mohd Wazir berkata mangsa akhirnya membuat laporan di IPD Kuantan semalam, kerana berang masih diganggu untuk membuat bayaran walaupun jumlah yang dibayar sudah melebihi separuh daripada nilai yang mahu dipinjam.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.