malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jerebu: IPU di S'wak tahap bahaya, 648 sekolah seluruh negara ditutup
Diterbitkan:  Sep 17, 2019 6:07 PM
Dikemaskini: 10:32 AM
ADS

Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Sarawak terus mencatat bacaan tidak selamat pagi ini, dengan Sri Aman di Kuching mencecah tahap berbahaya.

Menurut bacaan Jabatan Alam Sekitar, IPU pada pukul 5 petang ini di Sri Aman adalah 407, meningkat secara berterusan dari bacaan 201 pada pukul 10 malam semalam.

Sementara itu, Kuching mencatatkan bacaan IPU sangat tidak sihat iaitu 214 manakala Miri (122), Samalaju (103), Bintulu (125), Mukah (127), Sibu (173), Sarikei (155) dan Samarahan (158) mencatatkan udara tidak sihat.

Bacaan IPU di ILP Miri dilihat bertambah baik dengan bacaan di tahap sederhana (98) berbanding tidak sihat (107) pada pukul 8 pagi awal hari ini.

Bilangan kawasan di Semenanjung Malaysia yang mencatatkan bacaan sangat tidak sihat naik kepada lima kawasan berbanding tiga kawasan awal pagi ini.

Selain Kuching, empat kawasan lain adalah Johan Setia di Klang, Selangor (230), Port Dickson (203) di Nilai (205) di Negeri Sembilan dan Seri Manjung, Perak (229).

Sebanyak 29 kawasan di seluruh negara mencatatkan tahap IPU tidak sihat ialah - Taiping ( 113), Tasek Ipoh (109) dan Pegoh Ipoh (107 ) di Perak, Batu Muda (156) dan Cheras (149) di Kuala Lumpur; Putrajaya (181); Kuala Selangor (167), Petaling Jaya (165), Shah Alam (169), Klang (188) dan Banting (182) di Selangor; Seremban (177) di Negeri Sembilan; Alor Gajah (172), Bukit Rambai (182) dan Bandaraya Melaka (157) di Melaka; Segamat (151), Batu Pahat (106), Larkin (102) dan Tangkak (123) di Johor; Temerloh (133), Jerantut (110) dan Indera Mahkota Kuantan (115) dalam Pahang.

Sementara itu kualiti udara di Kangar, Langkawi dan Alor Setar tidak berubah.

Sekolah ditutup

Sementara itu, Bernama melaporkan sebanyak 648 buah sekolah ditutup hari ini berikutan IPU melebihi 200.

Kementerian Pendidikan dalam kenyataan hari ini berkata daripada jumlah itu, 636 sekolah adalah sekolah kerajaan di Sarawak (298), Selangor (201), Putrajaya (25) dan Negeri Sembilan (112) yang membabitkan keseluruhan pelajar seramai 445,249 orang.

Sebanyak 12 buah sekolah swasta juga ditutup membabitkan 7,432 orang pelajar, menurut KPM.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) manakala 300 ke atas berbahaya.

Lihat Komen