malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘PM India tak pernah mohon Malaysia hantar pulang Dr Zakir Naik’
Diterbitkan:  Sep 17, 2019 5:59 PM
Dikemaskini: 9:59 AM
ADS

Perdana Menteri India, Narendra Modi tidak membuat sebarang permohonan kepada Malaysia supaya menghantar pulang pendakwah bebas kontroversi, Dr Zakir Naik, kata Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata penceramah kontroversi itu adalah antara perkara yang dibincangkan dengan rakan sejawatnya semasa perjumpaan di luar Forum Ekonomi Timur di Rusia awal bulan ini.

“Tidak banyak negara mahukannya. India tidak bertegas (mengambilnya).

“Saya bertemu dengan Modi (dan) dia tidak beritahu saya yang dia mahukan orang ini (Zakir).

“Kami cuba mencari tempat di mana dia boleh pergi, tapi buat masa ini tiada sesiapa yang mahu menerimanya,” katanya semasa ditemu ramah di stesen radio BFM di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir berkata, kerajaan masih mencari tempat untuk menghantar Dr Zakir yang sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan sensitif kononnya masyarakat India di Malaysia lebih setia kepada Modi.

Katanya, Dr Zakir tidak lagi dibenarkan berucap di hadapan orang awam di Malaysia.

“Dia (Dr Zakir) bukan rakyat negara ini. Dia hanya memilik status penduduk tetap yang diberikan kerajaan terdahulu. Seorang yang berstatus penduduk tetap tidak boleh membuat kenyataan berhubung sistem dan politik negara ini.

“Dia sudah melanggar (syarat). Dia tidak lagi dibenarkan bercakap (pada majlis awam). Kerajaan masih mencari tempat yang dia akan diterima, namun buat masa ini, tiada,” katanya.

Dr Zakir merupakan orang yang dikehendaki pihak berkuasa India sejak 2016 atas tuduhan penggubahan wang dan menghasut menerusi ceramahnya.

Lihat Komen