malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Kenyataan tentang DAP, sijil halal: Lip Eng lapor polis terhadap Ismail Sabri
Diterbitkan:  Sep 17, 2019 5:31 PM
Dikemaskini: 9:31 AM
ADS

Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng hari ini membuat laporan polis terhadap Ismail Sabri Yaakob berhubung kenyataan naib presiden Umno itu berkenaan DAP dan pensijilan halal.

Beliau yang juga setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap Ismail, selaras dengan peringatan Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador tiada lagi amaran kepada mereka yang mencetuskan sensitiviti kaum dan agama.

Laporan itu merujuk ucapan Ismail di Himpunan Penyatuan Ummah pada Jumaat lalu.

Lim memetik laman The Star yang melaporkan Ismail berkata DAP "di belakang" pemimpin Melayu dalam kerajaan.

Laporan itu juga memetik Ismail sebagai berkata pensijilan halal "yang sebelum ini di bawah Jakim (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) kini di bawah Kementerian Kewangan".

Ismail dalam kenyataan Ahad lalu menyangkal laporan itu dan mendakwa beliau hanya berkata ia "akan" diletakkan di bawah Halal Industry Development Corporation (HDC).

Malaysiakini menyemak ucapan Ismail pada Jumaat lalu. Berikut adalah keratan ucapannya:

Tentang DAP

"Selepas pilihan raya apabila kita kalah, apabila Umno kalah pas kalah, dan kerajaan baru ni walaupun dipimpin orang Melayu tetapi yang ada di belakang orang Melayu itu adalah DAP.

"Segala dasar yang ada hari ini tidak jaga kepentingan Melayu dan Islam tetapi jaga kementingan kaum DAP yang ada dalam negara kita."

Tentang pensijilan halal

"Seperti yang kita tahu, baru-baru ini kita lihat isu yg melibatkan produk-produk halal yang dulu di bawah Jakim, sekarang saya difahamkan akan dipindahkan kepada HDC dan sebagainya.

"Dulu saya walaupun bukan menteri atau timbalan mneteri agama, waktu itu isu halal di bawah KPDNKK (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), di bawah saya.

"Waktu itu ada empat syarikat keluarkan logo halal, sebab itu akhirnya timbul isu yang melibatkan keraguan orang Islam tentang logo hala tersebut. Maka akhirnya kita satukan dan letak di bawah Jakim.

"Jakim jaga (pensijilan) halal begitu baik sehingga luar negara pun iktiraf logo dikeluarkan Jakim.

"Tetapi hari ini mereka ingin letak bawah HDC. HDC bawah kementerian kewangan, dan kita tahu siapa menteri kewangan. Soal halal pun cuba diambil oleh mereka."

Semakan menunjukkan HDC berada bawah Menteri Hel Ehwal Ekonomi yang diketuai Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali. Bagaimanapun HDC adalah milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pada Sabtu lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri Fuziah Salleh menyifatkan kenyataan Ismail berunsur fitnah kerana pensijilan halal masih dikendalikan Jakim.

Lihat Komen