malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Di mana Hadi apabila rakyat Sarawak, terutama Dayak ditindas’
Diterbitkan:  Sep 17, 2019 12:49 PM
Dikemaskini: 5:19 AM
ADS

Seorang pemimpin akar umbi Pemuda DAP Darawak hari ini tampil menyelar Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang mengajak penduduk Melayu dan Iban di Sarawak agar bekerjasama menghalang Cina DAP daripada "menguasai" negeri berkenaan.

Brolin Nicholsion, selaku ketua pemuda DAP cawangan Serian berkata, Abdul Hadi perlu berhenti menggunakan ucapan berbaur perkauman dan kebencian untuk meraih sokongan sedangkan belaiu tidak memahami hati rakyat negeri itu.

“Di manakah Abdul Hadi apabila rakyat Sarawak terutamanya kaum Dayak ditindas, tanah adat diambil oleh kroni-kroni dan dilayan sebagai warganegara kelas ketiga kadang-kadang tiada kelas langsung!

“Mengapa hanya mendekati masyrakat Dayak hanya untuk meraih undi semata-mata. Abdul Hadi hanya ingin membawa isu yang terjadi di Semananjung ke Sarawak dan jelas sekali tidak memahami situasi yang berlaku di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari.

Lidah rasmi PAS, Harakahdaily, semalam memetiknya sebagai berkata Sarawak wajar terus dikuasai oleh bumiputera negeri terbabit.

Berucap di Rumah Panjang Gima di Bintulu, Abdul Hadi berkata, biar Melayu yang menguasai negeri berkenaan.

“... kita tidak (mahu) halau orang Cina, tidak! Tapi jangan (kita biarkan) orang Cina (DAP) menguasai Sarawak ini," kata Hadi.

Mengulas kenyataan itu, Nicholsion, seorang Bidayuh atau lebih dikenali sebagai Land Dayak berkata PAS harus mendalami terlebih dahulu budaya dan adat masyarakat bumiputera.

“Populasi mereka (di Sarawak) adalah 40 peratus dan kebanyakan mereka adalah agama Kristian (mengikut data world directory and indigenous peoples 2019).

“Pakatan Harapan Sarawak sudah pun berpendirian bahawa jawatan ketua menteri akan diberi kepada kaum Dayak jika mereka menjadi kerajaan di Sarawak jikalau memenangi pilihan raya negeri kelak.

“Malah banyak pemimpin dari DAP Sarawak terdiri daripada kaum Dayak dan DAP Sarawak juga mempunyai wakil rakyat dari kaum Dayak/Bidayuh di Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau juga menyelar PAS yang bersekutu dengan parti "kleptokratik", merujuk kepada kerjasama rasmi parti itu dengan Umno.

Abdul Hadi yang baru-baru ini menandatangani piagam Muafakat Nasional bersama Umno di Kuala Lumpur memberitahu, DAP mahukan orang Cina menguasai Sarawak.

"Kita kena halang, sebab itu Melayu, Iban, dengan semua penduduk asal ini perlu bersatu, pertahankan kuasa bumiputera di Sarawak ini.

“Ini (yang) PAS minta - supaya kita semua bersatu jangan sokong DAP, jangan sokong parti-parti yang bekerjasama dengan DAP,” katanya.

Untuk rekod PAS sudah bertapak agak lama di Sarawak dan menyertai pilihan raya umum (PRU) dan negeri sebelum ini. Pada PRU lalu PAS meletakkan calon di kerusi parlimen Petra Jaya, Sibuti, Kota Samarahan, Batang Sadong dan Batang Lupar.

Bagaimanapun semua calon terbabit gagal mendapat undi yang signifikan daripada penduduk negeri terbabit.

Untuk rekod semua parti berpangkalan di Sarawak meninggalkan BN selepas PH berjaya menguasai Putrajaya pada Mei 2018. Mereka kemudian membentuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan mengambil sikap berbaik-baik dengan kerajaan pusat.

Tempoh DUN Sarawak adalah sehingga 2021 tetapi pilihan raya negeri boleh diadakan lebih awal.

Lihat Komen