malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Dakwaan projek RM450j rundingan terus: Bukan saya tandatangan surat - Lim
ADS

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata beliau perlu menyemak dahulu surat yang dikatakan dikeluarkan kementeriannya berkenaan sebuah projek bernilai RM450 juta yang didakwa diberikan menerusi rundingan terus.

"Adakah saya yang tandatangan (surat)?" soalnya ketika ditanya pemberita berkenaan surat itu, yang ditandatangani pegawai Bahagian Perolehan Kerajaan kementeriannya.

Selepas mengesahkan surat itu bukan ditandatanganinya, Lim berkata beliau perlu membuat penilaian dahulu berhubung perkara itu.

"Tolonglah, ada banyak surat yang ditandatangani... Saya perlu buat penilaian dulu.

"Anda merujuk apa yang dikatakan perdana menteri (Dr Mahathir Mohamad), bukan? Jadi boleh saya bincang dengan perdana menteri dulu?

"Tidak betul jika saya bercakap sebelum berbincang dengannya dulu," katanya lagi.

Semalam, Mahathir berkata beliau tidak tahu berkenaan dakwaan kerajaan meluluskan projek RM450 juta di Kota Baru, Kelantan, dan akan menyemak perkara itu.

"Saya tidak tahu, saya tidak pernah luluskan apa-apa. Tetapi saya perlu semak mengenai perkara ini. Mungkin mereka mendapatnya pada masa lalu, mungkin ia kesinambungan," katanya.

Surat bertarikh 26 Julai 2019 itu didakwa dari Kementerian Kewangan yang mendakwa perdana menteri telah menulis sepucuk surat pada 9 Julai mengenai kelulusan projek itu secara rundingan terus.

Surat yang tersebar di media sosial itu mengatakan Kementerian Kewangan bersetuju sebuah syarikat dilantik bagi pembinaan bangunan Gunasama Persekutuan di Tunjong, Kota Bharu Kelantan dengan kos RM450 juta.

Ketika ditanya lagi berkenaan surat itu yang memakai kepala surat kementeriannya, Lim bertegas bukan beliau yang menandatanganinya.

"Tetapi bukan saya yang tandatangan. Berapa banyak surat yang saya tandantangan? Dan oleh pegawai lain?

"Jika ia ditandatangani saya, sekurang-kurangnya ada asas. (Jika) ditandatangani pegawai lain, anda tahu berapa ramai kakitangan dalam Kementerian Kewangan.

"Jadi biar saya bincang perkara ini dengan perdana menteri dulu," katanya lagi.

Lihat Komen