malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
'Laksana hari pertama ke Dewan Rakyat'
Diterbitkan:  Sep 16, 2019 12:14 PM
Dikemaskini: 4:24 AM
ADS

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Nik Abduh Nik Abdul Aziz hari ini menggambarkan perasaannya ketika menjejakkan kaki kaki di pentas Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur, tempat termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara partinya dan Umno, minggu lalu.

Menurut Nik Abduh, pengalaman itu seperti kali pertama menjejakkan kaki di Dewan Rakyat.

"Terima kasih Umno izinkan saya menjejak kaki di pentas utama Dewan Merdeka. Laksana hari pertama menjejak kaki di Dewan Rakyat Parlimen Malaysia.

"Terima kasih PAS menebari Kuala Lumpur dengan kuntuman bunga raya kasih sayang dan jaringan persaudaraan sesama umat," kata anak bekas mursyidul am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat itu dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Pada Sabtu lalu, PAS dan Umno akhirnya secara rasmi memeterai kerjasama mereka selepas bersama-sama dalam blok pembangkang selepas PRU ke-14.

Di depan lebih 2,000 perwakilan kedua-dua parti, piagam tersebut dibaca bersama oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan, sebelum ditandatangani presiden Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang.

Ribuan anggota dan penyokong PAS dan Umno berduyun-duyun membanjiri PWTC - ibu pejabat Umno - selama dua hari himpunan itu, untuk menyaksikan peristiwa yang menurut Nik Abduh sebagai bersejarah.

"Terima kasih rakyat Malaysia menyambut #HPU914 sebagai hari besar paling bersejarah di ambang 2020. Terima kasih Allah, tambahkan untuk kami dengan rahmat, nikmat dan kasih sayang-Mu," kata Nik Abduh yang juga anggota parlimen Bachok.

Nik Aziz ketika hayatnya dilihat antara pemimpin PAS yang lantang menentang kerjasama antara parti itu dan Umno yang sering dirujuk sebagai kerajaan perpaduan (unity government - UG)

Bagaimanapun Hadi berkata Allahyarham ketika hayatnya bersetuju dengan kerjasama antara PAS dan Umno dan pasti akan gembira dengan pemeteraian piagam itu.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata penyatuan PAS dan Umno hari ini telah pun dipersetujui oleh bekas mursyidul am parti itu, allahyarham Nik Aziz Nik Mat ketika beliau masih hidup lagi.

Lihat Komen