malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Urus jenazah tanggungjawab bersama - Aktivis
ADS

Tidak senang duduk dengan laporan beberapa kes jenazah yang tergendala untuk dikebumikan dek kerana kekurangan dana bagi membeli kelengkapan dalam mempersiapkan urusan pengebumian, akhirnya sekumpulan pemuda dari sekitar Selangor tekad melakukan sesuatu bagi mengubah senario tersebut.

Melalui Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Seri Qiyam mereka cuba menyelesaikan masalah pengurusan jenazah ini.

Pengerusinya, Julailey Jemadi yang terlibat dalam memulakan inisiatif ini berkata pihaknya memberikan bantuan wang tunai bagi menguruskan jenazah kepada mereka yang tidak berkemampuan.

“Tiga ratus (ringgit) sahaja, taklah banyak sangat, takkanlah kariah, masjid tak boleh bantu kan?

“Kita orang (kami) asalnya fikir macam ini, kalau tak mampu, kita bagi sajalah,” katanya.

Pertubuhan Kebajikan dan Pembangunan Insan Seri Qiyam, kata Julailey pada awalnya memfokuskan bantuan dalam aspek pendidikan seperti menganjurkan bengkel latihan dan kelas bimbingan secara percuma kepada pelajar yang kurang berkemampuan terutamanya mereka dari kawasan luar bandar dan juga komuniti Orang Asli.

Sejak mula dilancarkan pada awal September tahun ini, program bantuan pengebumian jenazah telah menerima beberapa permohonan.

Bagaimanapun, niat persatuan untuk membantu masyarakat yang dihimpit kesusahan itu tidak lari daripada diambil kesempatan oleh golongan yang ingin membuat keuntungan mudah atau percubaan menipu persatuan dengan memalsukan kematian bagi mendapatkan wang tunai yang dijanjikan.

“Banyak, banyak cubaan untuk scam (menipu), seperti yang diberitahu tadi di hospital Kajang bila dia menelefon kawan saya dia cakap lain, bila dia telefon saya dia cakap lain,” katanya lagi.

Jelas Julailey (gambar), setelah dibuat semakan dan pengesahan dengan hospital terbabit, pihaknya dimaklumkan tiada kematian yang direkodkan dalam tempoh tersebut.

Sementara itu, setiausaha persatuan kebajikan itu, Zulfadzli Abdul Halim juga mendedahkan hal yang sama.

“Ada satu kes ini, dia kata nenek dia meninggal dah dua hari, lepas itu dia cuba nak minta duit untuk buat tahlil.

“Tetapi kami terpaksa reject (tolak) lah sebab itu tidak termasuk dalam skim bantuan. Tak lama kemudian, lebih kurang sejam kemudian ada orang lain pula Whatsapp, dia Whatsapp kawan saya.

“Dia kata nenek dia meninggal sekarang dekat Hospital Kajang dan nak bawa balik ke Hutan Melintang, tiada duit untuk van jenazah.

“Takpelah, kita minta dokumen, tapi bila kita tengok dokumen sama dengan yang kes tahlil tadi,” katanya.

Bagi mengelakkan perkara tersebut terus berlaku dan memandangkan kaedah mereka yang memberikan bantuan secara wang tunai kepada pemohon, jelasnya proses kelulusan perlulah melalui satu penilaian dan penelitian oleh pihak persatuan sebelum diluluskan.

Zulfadzli berkata pengurusan jenazah merupakan fardhu kifayah, bermaksud kewajipan bersama umat Islam yang memadai dilakukan oleh seorang atau sekumpulan orang sahaja.

“Kami cuma hendak menyelesaikan perkara berbangkit sebab benda ini (pengebumian jenazah) adalah fardu kifayah.

“Kalau tiada sesiapa yang menyelesaikan masalah ini, maksudnya secara tidak langsung kita semua ini ada masalah.

“Dari segi dosa pahala itu bukan saya nak jadi hakim tapi hati kita ini ada masalah lah bila kita biarkan saudara-mara kita, saudara mara seIslam kita, mayatnya tak diuruskan sebab tiada duit,” katanya.

Tambahnya lagi, program ini juga dijalankan bukan saja untuk memudahkan pihak keluarga menguruskan urusan pengebumian jenazah tetapi juga bagi memupuk kesedaran dalam kalangan semua pihak di Malaysia.

“Bukan saja pihak kerajaan, pihak masjid dan yang paling penting sekali masyarakat. Sebab kita nak masyarakat kita sensitif," ujarnya.

Masyarakat di negara ini, kata Zulfadzli perlu menyelesaikan sendiri masalah sebegini dan tidak terlalu mengharapkan kerajaan untuk membantu pengurusan jenazah dalam komuniti setempat. 

Lihat Komen