malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Ada cara selesai isu doa bersama - Khalid
Diterbitkan:  Sep 16, 2019 9:52 AM
Dikemaskini: 1:54 AM
ADS

Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad berkata terdapat cara lain yang boleh dibuat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam isu doa bersama pelbagai agama selain mengeluarkan larangan kepada umat Islam.

Jelasnya, larangan itu mungkin dikeluarkan Jakim kerana bimbang masyarakat keliru sehingga menganggap semua agama adalah sama sekiranya program tersebut dijalankan.

“Saya difahamkan ia berdasarkan fatwa yang dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan. 

"Kemungkinan ia adalah atas sebab kekhuatiran bahawa masyarakat akan keliru dengan anggapan semua agama adalah sama.

“Sejauh mana kekhuatiran ini adalah berasas adalah terpulang kepada pernilaian masing masing,” katanya dipetik laporan The Malaysian Insight.

Pada 5 September lalu, Jakim mengeluarkan kenyataan bahawa tidak harus untuk orang Islam menyertai atau melibatkan diri dalam sebarang majlis berdoa bersama penganut agama lain.

Jakim memberitahu pihaknya dihubungi Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional pada 6 Ogos lalu bagi mendapatkan pandangan mengenai program berdoa beramai-ramai membabitkan penganut agama berbeza.

Kata Jakim walaupun orang Islam tidak dibenarkan menyertai acara seumpama itu, larangan berkenaan tidak dikenakan kepada penganut agama lain.

Khalid bagaimanapun percaya kebimbangan itu boleh diatasi sekiranya ada penjelasan majlis doa bersama itu bukanlah bermakna semua agama adalah serupa.

“Bagi saya sekiranya dijelaskan terlebih awal dalam majlis tersebut bahawa agama berbeza dan semua ikut agama masing-masing maka anggapan itu tidak akan muncul.

“Lagipun saya rasa kita semua sudah memahami hakikat perbezaan agama ini,” katanya.

Untuk rekod, pada Mac 2014, polis Pulau Pinang pernah menganjurkan majlis doa harmoni antara agama untuk keselamatan penumpang pesawat MH370 yang hilang ketika perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Bagaimanapun, majlis tersebut dibuat di empat lokasi berbeza melibatkan penganut Islam, Buddha, Hindu dan Kristian.

Ia diadakan di Gereja St George Jalan Farquhar, Kuil Buddha Mahindrama Jalan Kampar, surau ibu pejabat kontinjen polis negeri di Jalan Dickens dan Kuil Sivan di Jalan Dato' Keramat.

Pada 22 Julai 2014 pula ratusan orang ramai di Kuala Lumpur daripada pelbagai agama dan kepercayaan juga hadir dalam majlis doa bersama anjuran Jawatankuasa Mempromosi Persefahaman dan Keharmonian Di Antara Penganut Agama Jabatan Perdana Menteri untuk pesawat MH17.

Pada majlis lebih sejam itu, wakil penganut Islam, Kristian, Hindu, Taois, Sikhm, Baha’i dan Buddha bergilir-gilir berdoa untuk keselamatan anggota keluarga korban pesawat MAS yang ditembak jatuh itu.

Lihat Komen