malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Polis panggil MP Klang susulan laporan polis dibuat Zakir
Diterbitkan:  Sep 15, 2019 5:31 PM
Dikemaskini: 9:34 AM
ADS

Polis akan menyoal siasat anggota parlimen Klang, Charles Santiago esok berhubung laporan polis yang dibuat oleh pendakwah, Dr Zakir Naik.

Anggota parlimen DAP itu mengesahkan beliau akan hadir di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10.45 pagi esok atas permintaan polis.

"Polis Diraja Malaysia sedang menyiasat laporan yang dibuat oleh Zakir," katanya dalam satu kenyataan.

Zakir menamakan Charles dan empat individu lain dalam laporan polisnya kerana didakwa memfitnah.

Empat yang lain ialah Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy; bekas duta, Dennis J Ignatius dan Adun Bagan Dalam, M Satees.

Rabu lepas, polis menyoal Ramasamy dan Satees di Pulau Pinang, namun kedua-duanya mempertahankan pendirian mereka berhubung kenyataan terhadap Zakir.

Zakir membuat laporan polis terhadap lima individu berkenaan berikutan kenyataan mereka, khususnya berkaitan ceramah beliau yang dianjurkan oleh kerajaan Kelantan pimpinan PAS di Kota Bharu bulan lepas.

Polis telah memanggil Zakir untuk disoal siasat  berhubung kenyataan tersebut pada bulan lepas.

Dalam ceramah itu Zakir mengatakan rakyat Malaysia beragama Hindu lebih menyokong Perdana Menteri India Narendra Modi berbanding perdana menteri Malaysia.

Pendakwah dari India itu juga menggelar masyarakat Cina sebagai "tetamu lama" dan sekiranya mereka mahu beliau dihantar pulang ke India, maka "tetamu lama" perlu berbuat demikian terlebih dahulu.

Zakir kemudian mendakwa kenyataan beliau telah diambil di luar konteks.

Lihat Komen