malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
'Kerjasama Umno-PAS belum memadai untuk menang PRU15'
ADS

Pembangkang memerlukan lebih sekadar kerjasama Umno dan PAS - dua parti terbesar Melayu - untuk menang dalam PRU ke-15.

Semalam, dua parti itu akhirnya memeterai Piagam Muafakat Nasional yang merasmikan kerjasama mereka yang telah pun berjalan sebelum ini.

Ia antara lain menggariskan matlamat kerjasama dua parti terbesar orang Melayu itu, seperti komitmen terhadap agenda Islam, Melayu dan bumiputera.

Langkah itu dilihat sebagai satu cara untuk menarik sokongan pengundi Melayu konservatif menjelang PRU15.

Bagaimanapun pemerhati politik berpandangan kebergantungan terhadap undi Melayu sahaja tidak cukup untuk mereka menang dalam pilihan raya umum.

Pensyarah sains politik Universiti Utara Malaysia Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata perkembangan semalam mungkin akan mengurangkan lagi saki-baki sokongan bukan Melayu terhadap pembangkang.

"Hakikatnya tanpa sokongan semua rakyat dari semua kaum, mereka tidak boleh berjaya. Bergantung pada undi Melayu (sahaja) tidak akan membawa mereka ke Putrajaya.

"[...] (Tetapi) orang bukan Melayu, termasuk orang di Sabah dan Sarawak, akan menjarakkan diri daripada pakatan Umno-PAS," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Kerjasama ini mungkin akan mengetepikan penyokong Umno terutamanya di Sabah, ramal pensyarah Sains Politik Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Arnold Puyok.

"Mereka mungkin terpaksa memikirkan semula kedudukan mereka dalam Umno kerana ideologi PAS dilihat tidak sesuai dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63)," katanya kepada Malaysiakini.

Bagi Pengarah Institut Asia University Of Tasmania Professor James Chin, pengundi pada dasarnya bimbang kerjasama Umno-PAS akan membawa politik semakin ke 'aliran kanan' dan memecahkan masyarakat.

"Umno dan PAS sedang memberitahu rakyat bahawa negara ini milik orang Melayu dan Muslim, tidak ada ruang bagi anda jika anda bukan Melayu atau bukan Islam," katanya.

Beliau menyifatkan ia hari yang menyedihkan buat mereka yang ingin melihat Malaysia sebagai sebuah negara progresif dan berbilang kaum.

Dalam ucapannya semalam, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan piagam itu tidak harus menjadikan Umno dan PAS sebagai "politik kaum yang sempit serta pegangan agama yang ekstrem".

"Permuafakaan ini hendaklah dilihat dalam ruang lingkup yang jauh lebih positif. Sebagai parti yang sudah masak dengan agenda perpaduan kaum, Umno dan PAS akan memastikan penyatuan ini, bukan untuk memisahkan, menjarakkan atau memusuhi mana-mana kaum dan agama dalam negara tercinta ini," katanya lagi, yang beberapa kali menyentuh perkara itu dalam ucapannya.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula menggesa orang bukan Melayu dan bukan Islam agar tidak bimbang dengan kerjasama itu.

Bagaimanapun, Chin menjangka jaminan itu tidak dapat meyakinkan pengundi bukan Melayu.

Katanya, Zahid boleh saja berkata demikian tetapi orang bukan Melayu akan melihat kerjasama itu sebagai seruan ke arah ketuanan Melayu-Islam.

Pembahagian kerusi jadi cabaran

Sementara itu, pembahagian kerusi antara Umno dan PAS kekal menjadi cabaran apatah lagi kedua-dua parti mempunyai asas sokongan pengundi yang sama.

Dalam sidang media semalam, Zahid berkata masih terlalu awal untuk membincangkan perkara itu.

Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Jeniri Amir berkata soal itu akan menguji kerjasama Umno dan PAS.

"(Soal) Agihan kerusi kalau tak ditangani dengan baik akan menjadikan (kerjasama) bermasalah dan boleh menggagalkannya. Harus diingat, matlamat utama kerjasama ini adalah untuk menumbangkan PH.

"Mereka sedar bahawa hanya kerjasama yang jitu akan memperlihatkan naratif politik bahawa kedua-dua parti ini (menjadi tempat) bergantung harap orang Melayu, ketika ada persepsi PH itu tidak betul-betul perjuangkan kepentingan Melayu dari segi agama, hak-hak dan juga soal perlembagaan dan raja," katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, ditambah pula dengan faktor masih ada anggota Umno dan PAS yang masih sangsi dengan kerjasama itu.

"Ini disebabkan perbezaan ideologi dan dasar dua parti itu. Bagi sesetengah pihak, mana mungkin air akan bercampur dengan minyak," katanya lagi, yang menambah penjelasan lanjut di peringkat akar umbi perlu dilakukan.

Sementara itu, Mohd Azizuddin menjangka akan berlaku kekecewaan jika Umno-PAS merancang untuk mencabar PH secara bersemuka dalam merebut undi Melayu.

"Mereka perlu menjamin pertembungan dua penjuru. Rundingan dan keputusan mungkin akan mengecewakan ramai orang jika pembahagian tidak dibuat dengan betul," katanya.

Buat masa ini, CEO Ilham Centre Mohd Azlan Zainal mencadangkan Umno dan PAS menubuhkan kerajaan campuran di empat negeri yang ditadbir mereka - Pahang, Perlis, Kelantan dan Terengganu.

Semalam, Hadi berkata PAS tidak menolak akan memasukkan Umno dalam pentadbiran Terengganu dan Kelantan dan ia bergantung kepada perkembangan selanjutnya.


Laporan tambahan oleh M Fakhrull Halim

Lihat Komen