malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Loji minyak Arab Saudi kena serang
Diterbitkan:  Sep 15, 2019 3:58 PM
Dikemaskini: 7:58 AM
ADS

GLOBAL | Kumpulan Houthi di Yeman yang cenderung berpihak Iran mengaku bertanggungjawab terhadap dua serangan ke atas loji minyak Arab Saudi pada Sabtu yang melumpuhkan separuh pengeluaran minyak negara itu, lapor Reuters. 

Serangan itu, menyebabkan bekalan minyak sebanyak 5.7 juta tong minyak sehari atau lebih lima peratus bekalan minyak global tergendala, maklum Saudi Aramco, syarikat petroleum milik negara itu.

Serangan yang berlaku sebelum subuh itu dilancarkan susulan serangan pertama yang dilakukan lebih awal di sempadan negara itu terhadap kapal tangki Saudi yang terletak di perairan Teluk Farsi, tetapi ini yang paling teruk mengakibatkan pengeluaran minyak lumpuh sementara.

Arab Saudi ialah pengeksport minyak terbesar dunia dengan lebih tujuh juta tong minyak dibawa keluar dari negara itu setiap hari.

Walaupun kumpulan Houthi mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo melalui satu ciapannya di Twitter tetap meletakkan kesalahan tersebut terhadap Iran dan menegaskan ‘tiada bukti yang menunjukkan serangan tersebut datang dari Yemen.’

“Walaupun dengan seruan untuk ‘meredakan keadaan’, Iran kini telah melancarkan serangan yang tidak dijangka-jangka terhadap bekalan minyak dunia,” kata Pompeo.

Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Bin Salman telah menelefon Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, memberitahu bahawa Riyadh memiliki kemahuan dan keupayaan "untuk berdepan dan menangani serangan kumpulan pengganas ini,” kata laporan agensi berita Saudi, SPA.

Pada masa sama, Rumah Putih mengutuk serangan tersebut dan Trump memaklumkan kepada putera mahkota Saudi itu bahawa Washington bersedia untuk bekerjasama dengan negara itu bagi menjamin keselamatan negara mereka.

Jabatan tenaga AS pula berkata mereka bersedia untuk melepaskan simpanan minyak petroleum strategik mereka jika diperlukan.

Setiausaha Tenaga, Rick Perry turut dipetik Reuters memaklumkan mereka akan bekerjasama dengan Agensi Tenaga Dunia (International Energy Agency) sebuah badan yang bertanggungjawab menyelaras polisi tenaga bagi negara berindustri sekiranya tindakan global diperlukan bagi menyelesaikan masalah tersebut.

Arab Saudi mengetuai pakatan Sunni campur tangan di Yemen pada 2015 bagi menentang kumpulan Houthi. 

Arab Saudi juga menyalahkan seteru mereka, Iran yang menganut Syiah di atas serangan terdahulu yang telah dinafikan Tehran.

Riyadh turut menuduh Iran membekalkan senjata kepada Houthi walaupun dinafikan kedua-dua pihak, Tehran dan juga kumpulan Houthi.

Jurucakap pakatan Sunni, kolonel Turki al-Malki dipetik Reuters berkata siasatan telah pun dijalankan bagi mengetahui siapakah dalang dan pelaku disebalik serangan itu. 

Katanya, pakatan yang disokong negara-negara kuasa Barat itu akan bertindak balas terhadap sebarang ancaman keselamatan tenaga global dan kestabilan ekonomi.

Ketua eksekutif Aramco, Amin Nasser berkata tiada korban daripada serangan tersebut.

Menteri Tenaga Arab Saudi, Putera Abdulaziz bin Salman memberitahu Aramco akan mempunyai maklumat lebih lanjut berhubung serangan itu dalam tempoh 48 jam dan akan mengeluarkan minyak dari tangki simpanan mereka bagi mengimbangi kerugian itu.

Aramco kini dalam proses rancangan untuk mengeluarkan saham terbitan awam (IPO) terbesar di dunia. 

Lihat Komen