malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Khaled: Umno, PAS bukan baru setahun dua, tahu realiti M'sia
Diterbitkan:  Sep 15, 2019 2:04 PM
Dikemaskini: 6:04 AM
ADS

Umno dan PAS bukan parti 'setahun jagung' dan memahami sebarang kerjasama politik - apatah lagi dengan matlamat untuk menjadi kerajaan - perlu mengambil kira kepelbagaian kaum di negara ini, kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin.

Justeru, beliau menyifatkan pihak yang menganggap kerjasama dua parti itu hanya berkisar Melayu dan Islam sebagai jauh tersasar.

"Pasti ramai yang tidak menyangka Umno dan PAS akan menggunakan konsep permuafakatan nasional. Ramai yang menjangkakan ia akan digelar penyatuan ummah, sesuai sangkaan mereka ia gabungan yang orientasinya ialah kaum dan agama semata-mata.

"Umno dan PAS bukan parti setahun dua usianya...Realitinya, kedua-dua parti sentiasa berpendirian bahawa apa jua kerjasama mestilah mengambil kira kemajmukan tanah air ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Umno dan PAS akhirnya memeterai Piagam Muafakat Nasional yang antara lain menggariskan matlamat kerjasama dua parti terbesar orang Melayu itu.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya sebelum itu berkata ia bukan untuk "memisahkan, menjarakkan atau memusuhi mana-mana kaum dan agama", manakala Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula menggesa orang bukan Melayu dan bukan Islam agar tidak bimbang dengan kerjasama itu.

Bagaimanapun Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor Amirudin Shari ketika dipetik Bernama menyuarakan kebimbangan ia akan wujud gerakan politik perkauman melampau, sementara pensyarah Universiti Utara Malaysia Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata ia akan menjauhkan lagi sokongan orang bukan Melayu terhadap pembangkang.

Mengulas lanjut, Khaled berkata terma muafakat nasional menunjukkan ia bukan sekadar perikatan politik tetapi usaha Umno dan PAS untuk menangani "pelbagai isu negara rentas politik" serta mencetuskan wacana nasional.

"Negara ini tidak lagi boleh dibiarkan berkisar tentang politik personaliti... Kita memerlukan wacana nasional pelbagai dimensi yang lebih agresif agar perjalanan negara ini ditentukan secara bersama, bukan hanya aktor tertentu sahaja.

"Semoga melalui muafakat nasional ini, akan terjelma pelbagai pendirian yang mencerminkan pandangan pelbagai pihak," katanya, sambil menjelaskan ia akan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk bersama-sama mereka.

Pada masa sama beliau mengakui perbezaan nilai dan ideologi antara Umno dan PAS.

"Sifat persefahaman UMNO dan PAS ini ialah ia meraikan perbezaan... Ini kerana Umno tahu PAS memang berbeza dan PAS pun tahu Umno itu sangat berlainan.

"Jadi kedua-dua menyedari had dan keterbatasan masing-masing, cuma kedua-duanya berikhtiar untuk mencari titik temu yang boleh melonjakkan 'penyelesaian nasional kepada isu nasional'," katanya.

Beliau meminta masyarakat memberi peluang kepada kedua-dua parti untuk meneruskan kerjasama itu dan boleh menolaknya dalam PRU akan datang jika tidak yakin dengannya.

Lihat Komen