Pengiklanan

    Jerebu: Tangkak, Melaka catat IPU terburuk

    (Dikemaskini )

    Tangkak, Johor dan Bandaraya Melaka mencatatkan bacaan indeks pencemaran udara (IPU) paling buruk setakat pukul 12 tengah hari tadi.

    Menurut Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar, Tangkak mencatatkan IPU 254 manakala Bandaraya Melaka 222 - kedua-duanya daam kategori sangat tidak sihat.

    IPU 0-50 bermaksud kualiti udara yang baik, 51-100 adalah sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 dan ke atas memberi amaran berbahaya untuk kesihatan.

    Masalah jerebu menyebabkan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk kolej matrikulasi serta 129 sekolah di Tangkak, selain 89 sekolah di Muar, dilaporkan akan ditutup sementara esok.

    Menurut laporan Bernama hari ini, Menteri Besar Johor Dr Sahruddin Jamal mengingatkan penduduk negeri itu untuk sentiasa memeriksa bacaan IPU di kawasan masing-masing.

    “Jangan lakukan aktiviti luar dan pastikan selalu pakai penutup mulut, semua masyarakat juga kena peka terhadap IPU di kwasan masing-masing," katanya.

    Menurut APIMS lagi, bacaan IPU di 10 kawasan di sekitar Semenanjung , iaitu Port Dickson, Alor Gajah, Bukit Rambai, Segamat, Batu Pahat, Kluang, Larkin, Pasir Gudang, Rompin dan Indera Mahkota Kuantan juga berada pada tahap tidak sihat.

    Keadaan sama turut berlaku di 10 kawasan di sekitar Sarawak, iaitu ILP Miri, Miri, Samalaju, Bintulu, Mukah, Sibu, Sarikei, Sri Aman, Samarahan dan SK Kuala Baram 2 (MCAQM), selain dua lokasi di Sabah merangkumi Tawau serta Sandakan.

    Terdapat 68 stesen pemantauan di seluruh negara.

    Menurut Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC), setakat semalam terdapat 411 kawasan panas di Kalimantan dan 301 di Sumatra, dan masing-masing satu di Sabah dan Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih