Pengiklanan

    MB Perlis sambut baik kerajaan campuran Umno-PAS

    (Dikemaskini )
    N Faizal Ghazali  |  Berita

    Perlis menyambut baik kenyataan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, yang menyatakan kesediaan parti itu menerima Umno sebagai anggota kerajaan negeri.

    Menteri Besar Perlis Azlan Man berkata beliau tidak ada masalah sekiranya Umno dan PAS membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

    Namun katanya, satu keputusan secara dasar oleh kedua-dua parti di peringkat tertinggi perlu dibuat bagi tujuan tersebut.

    "Sebelum ini lagi saya sudah sebut mengenai perkara ini, di Perlis saya kata kita tak ada masalah untuk menjemput PAS menganggotai kerajaan negeri.

    "Bagaimanapun buat masa ini kerjasama dengan PAS ini berbentuk taawun (siyasi), jadi kita perlukan satu keputusan di peringkat tertinggi parti.

    "Itu hanya satu kenyataan kesediaan oleh presiden PAS, dan kita tidak ada masalah. Namun perlu keputusan dasar apakah langkah berikutnya. Maknanya kerjasama antara kedua-dua parti ini perlu ditingkatkan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

    Semalam, selepas memeterai piagam PAS dan Umno, Abdul Hadi memberitahu PAS mempunyai rancangan untuk memasukkan Umno menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

    Meskipun merasakan ia masih berada dalam peringkat awal, beliau tidak menolak rancangan tersebut kerana menganggap Umno kini sebahagian daripada keluarga PAS.

    "Itu tunggu bila tiba masa... akan lihat kepada perkembangan selanjutnya.

    "Memang ada rancangan, itu dalam keluarga kami," katanya.

    Sementara itu Azlan berkata, sekiranya cadangan itu bermatlamatkan ke arah pengukuhan dan perpaduan ia satu perkembangan yang baik.

    "Maknanya kita menterjemahkan kerjasama ini bukan sahaja dalam isu-isu tertentu, tetapi juga bersama dalam pentadbiran kerajaan.

    "Saya rasa tak ada masalah dan jika itu berlaku saya rasa ia satu perkembangan yang baik. Dan saya amat mengalu-alukan dan menyokongnya," jelas beliau.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih