malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jakim nafi dakwaan Ismail sijil halal kini bawah Kementerian Kewangan
Diterbitkan:  Sep 15, 2019 8:54 AM
Dikemaskini: 12:54 AM
ADS

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan kenyataan Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob pada 13 September yang mendakwa pensijilan halal Malaysia kini diletak di bawah Kementerian Kewangan.

“Jakim menafikan kenyataan tersebut dan menegaskan bahawa sehingga kini Jakim bersama pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri masih lagi merupakan pihak yang bertanggungjawab penuh terhadap urusan pensijilan halal Malaysia,” kata Unit Komunikasi Korporat Jakim dalam satu kenyataan malam tadi.

Terdahulu, The Star memetik Ismail berkata, “walaupun kerajaan baru kelihatan diterajui oleh orang Melayu, tetapi secara tidak langsung dijalankan oleh DAP.”

Kata Ismail, pensijilan logo halal yang dulunya di bawah Jakim telah diletakkan di bawah Kementerian Kewangan.

"Kita tahu siapa yang mengendalikan Kementerian Kewangan," jelas naib presiden Umno.

Sementara itu, Jakim turut berharap pensijilan halal yang dijalankannya dapat memberi manfaat dan membantu menjana ekonomi negara.

“Jakim berharap peranan pensijilan halal yang dijalankan oleh Jakim sejak sekian lama dapat terus dimanfaatkan oleh semua pihak termasuk dari dalam dan luar negara serta mampu membantu menjana ekonomi negara yang mapan dan berdaya saing,” kata kenyataan itu lagi.

Lihat Komen