Pengiklanan

    Jerebu N Sembilan: Kes asma, sakit mata, saluran nafas meningkat

    (Dikemaskini )

    Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) memantau tiga penyakit melibatkan jangkitan saluran pernafasan (URTI), jangkitan mata dan asma di negeri ini berikutan jerebu yang sedang melanda negara ketika ini.

    Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri S Veerapan berkata berdasarkan pemantauan kes URTI, terdapat peningkatan kes sebanyak 14.3 peratus, yang mana pada minggu epid ke-37 terdapat sebanyak 2,605 kes berbanding 2,280 kes pada minggu epid ke-36.

    Katanya, berbanding minggu epid ke-36, kes pemantauan jangkitan mata juga meningkat sebanyak 3.1 peratus atau 67 kes pada minggu epid ke-37 dan peningkatan 1.4 peratus kes asma iaitu 283 kes pada minggu yang sama.

    "Secara keseluruhan, kedatangan kes penyakit URTI, jangkitan mata dan asma di fasiliti kesihatan sentinel menunjukkan peningkatan sebanyak 14.3 peratus, 3.1 peratus dan 1.4 peratus pada minggu epid ke-37 berbanding minggu sebelumnya berikutan peningkatan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat pada minggu epid ke-37," katanya dalam kenyataan di Seremban hari ini.

    Veerapan berkata JKNNS telah mengambil langkah memaklumkan kepada kakitangan kesihatan supaya sentiasa bersedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes berkaitan jerebu di negeri ini.

    "Aktiviti pendidikan kesihatan telah dipergiatkan terutama kepada golongan berisiko tinggi di peringkat klinik-klinik kesihatan bagi mengurangkan kesan kesihatan akibat jerebu.

    "Bekalan ubat-ubatan juga dipastikan sentiasa berada dalam keadaan yang mencukupi supaya semua pesakit mendapat rawatan yang sempurna," katanya.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih