Pengiklanan

    Jerebu: Sekolah di Tangkak, Muar dan Pontian ditutup

    (Dikemaskini )

    Keadaan jerebu yang melanda negara terutamanya di Johor menyebabkan semua Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk kolej matrikulasi serta 129 sekolah di Tangkak dan 89 sekolah di Muar ditutup esok, membabitkan lebih 40,000 pelajar sekolah.

    Masalah itu turut menjejaskan daerah Pontian di negeri itu apabila semua sekolah dan tadika turut ditutup esok selepas IPU mencatat bacaan 220.

    Malaysia hari ini menyatakan kesediaan untuk membantu Indonesia dalam menangani masalah jerebu dan telah menyampaikan mesej kepada negara jiran itu untuk membantu dengan apa cara yang mungkin dan sesuai termasuk sokongan atau bantuan yang diperlukan bagi memadam kebakaran, meskipun hingga kini belum ada permintaan seumpama itu dibuat.

    Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin berkata oleh kerana ASEAN ketika ini tidak mempunyai akta jerebu rentas sempadan di peringkat serantau, penguatkuasaan berhubung masalah jerebu perlu ditangani mengikuti negara individu itu sendiri.

    Kementerian Kesihatan (KKM) turut mengambil pendekatan dengan menyarankan semua aktiviti keramaian atau sukan di luar bangunan ditangguhkan apabila IPU melebihi 100 seperti yang terkandung dalam Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan 2019.

    Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata berikutan keadaan jerebu yang masih melanda dan penganjuran beberapa acara 'luaran' yang melibatkan aktiviti fizikal, langkah tersebut perlu diambil kerana ia akan meningkatkan risiko kesihatan akibat jerebu.

    Operasi penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) di Perak yang terjejas semalam akibat jerebu, kembali lancar hari ini dengan kesemua penerbangan yang ditunda semalam telah dijadualkan semula untuk penerbangan pada hari ini walaupun terdapat sedikit anjakan waktu.

    Berdasarkan portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) sehingga 8 malam ini, bacaan IPU di Sabah semakin meningkat menyebabkan kualiti udara berada pada tahap tidak sihat, iaitu di Tawau (148), Sandakan (104), Kota Kinabalu (69), Kimanis (69) dan Keningan (74).

    Negeri lain yang mencatatkan peningkatan IPU ialah Sarawak iaitu Samarahan (197), Sri Aman (166), Sarikei (156) Sibu (150), Kapit (92), Mukah (124) dan Miri (195); Johor merangkumi Larkin(136), Pasir Gudang (95), Pengerang (74) dan Kota Tinggi (74) dan Terengganu iaitu di Kemaman (102), Paka (85) dan Kuala Terengganu (81).

    Sementara itu, beberapa negeri yang menunjukkan penurunan IPU ialah di Selangor yang merangkumi Kuala Selangor (86), Petaling Jaya (105), Shah Alam (95), Klang (94) dan Banting (100); Putrajaya (100); Negeri Sembilan iaitu di Nilai (113), Seremban (97) dan Port Dickson (146); dan Melaka iaitu di Alor Gajah (140) dan Bukit Rambai (145).

    Negeri lain yang mencatatkan penurunan IPU ialah Pahang iaitu Jerantut (127) dan Temerloh (119); Perak iaitu di Taiping (62), Pegoh Ipoh (81), Seri Manjung (62), Tanjung Malim (81).

    - Bernama

    Belanjawan 2020
    • Infografik
      Carta & Graf
    • Kuiz
      Apa anda dapat?
    • Undian
      Suka atau tidak?
    • Laporan langsung
      Laporan langsung kami

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih