BERITA

Jerebu: Kualiti udara Sandakan tahap tidak sihat

Bernama

14 Sep 2019, 10:29 am

Dikemaskini setahun lepas

A
+
A
-

Kualiti udara di Sandakan semakin merosot apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) meningkat ke paras tidak sihat pada pukul 5 petang berbanding 4 petang tadi.

Pemerhatian Bernama mendapati kebanyakan kawasan tanah tinggi dan pulau berhampiran pusat bandar Sandakan semakin terlindung di sebalik jerebu yang semakin tebal.

Sementara itu, hanya segelintir masyarakat yang peka terhadap kesan kesihatan disebabkan jerebu memakai penutup hidung dan mulut.

Berdasarkan laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Sandakan mencatatkan bacaan IPU 101 setakat pukul 5 petang berbanding 98 iaitu tahap sederhana pada 4 petang tadi.

Bagaimanapun, Tawau masih mencatatkan bacaan tertinggi di seluruh negeri dengan bacaan IPU 139.

Kualiti udara di kawasan lain masih di paras sederhana walaupun bacaan IPU menunjukkan peningkatan iaitu Politeknik Kota Kinabalu dengan bacaan IPU 82, Kimanis (65), Keningau (73), Kota Kinabalu (66) dan Labuan (74).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

Orang ramai boleh merujuk laman web http://apims.doe.gov.my untuk mengetahui tahap IPU terkini di Sabah pada setiap jam.

- Bernama

Jadilah pelanggan Malaysiakini untuk menyokong media bebas menyalurkan sumber maklumat dalam negara yang boleh dipercayai. Bersama membina Malaysia yang lebih baik.

Langgan dengan hanya RM200 setahun atau RM20 sebulan.