malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
KDN: Jual MyKad satu pengkhianatan, tiada kompromi
Diterbitkan:  Sep 14, 2019 5:47 PM
Dikemaskini: 9:47 AM
ADS

Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung atau bersubahat dalam sindiket pengeluaran dan penjualan sijil kelahiran serta kad pengenalan secara tidak sah kepada warga asing.

Sehubungan itu, menterinya, Muhyiddin Yassin telah mengarahkan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) supaya memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi jalankan siasatan.

"Saya ingin merujuk kepada tangkapan 20 orang individu termasuk pegawai Jabatan Pendaftaran Negara yang terlibat dalam sindiket penjualan MyKad dan sijil lahir kepada warga asing.

"Ingin ditegaskan bahawa perbuatan tersebut adalah satu pengkhianatan besar kepada negara dan pihak kementerian tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat secara langsung.

"Ketua Pengarah JPN telah diarahkan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam apa jua siasatan membabitkan kes ini atau kes-kes seumpama ini.

"Kementerian Dalam Negeri bertanggungjawab ke atas proses permohonan kad pengenalan diri di Malaysia. Proses permohonan sedia ada adalah jelas dan semua permohonan yang lengkap akan diproses secara adil," katanya.

Beliau berkata demikian menerusi status yang dimuat naik ke dalam akaun Facebooknya, hari ini.

Tambahnya, KDN menasihatkan orang ramai agar mengikut proses tersebut dan tidak sama sekali cuba untuk mendapatkan sebarang jenis dokumen melalui saluran yang tidak betul.

Tambah Muhyiddin, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sindiket pengeluaran dokumen secara tidak sah diminta hubungi pihak berkuasa dengan segera.

Lihat Komen