malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Pemuda PH: Jangan bazir masa cakap pasal parti lain
Diterbitkan:  Sep 14, 2019 5:34 PM
Dikemaskini: 1:18 PM
ADS

Ketua-ketua sayap pemuda PH mengingatkan agar gabungan itu tidak membazirkan masa berbicara soal parti lain, sebaliknya menumpukan perhatian kepada prestasi parti sendiri.

Peingatan itu hadir pada hari Himpunan Penyatuan Ummah yang berlangsung hari ini sempena pemeteraian piagam kerjasama antara PAS dan Umno yang menyaksikan kehadiran lebih 25,000 pengunjung.

“Abaikanlah perihal parti-parti pembangkang dan tumpukan perhatian kepada prestasi PH.

“Janganlah dibazirkan masa dan tenaga berbicara soal dan isu parti lain.

“Masa untuk kita melihat gambaran yang lebih besar iaitu politik matang dan khidmat yang menjerumus ke arah penyelesaian masalah untuk membangunkan negara Malaysia yang berbilang kaum,” kata mereka dalam kenyataan bersama hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan empat ketua pemuda parti komponen PH: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bersatu), Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR), Mohd Sany Hamzan (Amanah), dan Howard Lee Chuan How (DAP).

Setelah dilihat sering menjalinkan kerjasama sejak selepas PRU-14 lalu, hari ini Umno dan PAS akhirnya memeterai piagam kerjasama secara rasmi, yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional.

Piagam itu ditandatangani oleh presiden kedua-dua parti, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang selepas mereka meyampaikan ucapan masing-masing di hadapan lebih 2,000 perwakilan.

Ketua-ketua pemuda PH turut mengingatkan bahawa Himpunan Perpaduan Ummah tidak seharusnya tidak mengubah haluan dan perjuangan PH bagi membela nasib rakyat, mengangkat isu-isu hakiki negara serta mengukuhkan rasa kasih kepada Malaysia.

Hal itu, kata mereka, termasuklah hal-hal berkaitan peluang pekerjaan kepada rakyat, kualiti kehidupan golongan B40, pemerkasaan kepada belia negara, penyatuan rakyat Malaysia, dan pembelaan masa hadapan Sabah dan Sarawak.

Kata mereka lagi, perpaduan negara harus sentiasa menjadi tunjang dalam setiap mesej perjuangan PH, memandangkan kepelbagaian sememangnya menjadi kekuatan buat mereka.

“PH merupakan suatu pakatan yang majmuk, terdiri daripada rakyat berbagai keturunan, agama, budaya, negeri dan wilayah yang bernaung dibawah Jalur Gemilang.

“Kepelbagaian dan kemajmukan kita inilah kekuatan dan kehebatan kita.

Justeru, tambah mereka, ruang setiap rakyat Malaysia untuk menyumbang idea dan tenaga kepada PH perlu “dipertahankan dan diiktiraf sepanjang masa” tanpa mengira agama dan bangsa.

Lihat Komen