malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Dr M: 'Kemakmuran Bersama' tumpu kurangkan jurang miskin-kaya
ADS

Kabinet bersetuju secara prinsip dengan dasar jangka panjang hala tuju ekonomi negara berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030, kata Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Jelas Dr Mahathir, dalam hala tuju ekonomi berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 kerajaan akan memberi tumpuan dalam mengurangkan jurang antara negeri kaya dan miskin.

Selain itu, katanya kerajaan juga akan menumpukan usaha mengurangkan jurang pendapatan rakyat di bandar dan luar bandar serta jurang pendapatan antara golongan kaya dan miskin.

“Kerajaan akan beri tumpuan kepada negeri miskin untuk meningkatkan pendapatan mereka.

“Kerajaan juga perlu memperbanyak program di luar bandar selain jurang golongan miskin dan kaya yang terlalu jauh ketika ini.

“Golongan eksekutif ada yang dapat pendapatan antara RM2 juta hingga RM3 juta setahun manakala jurang dengan pekerja bawah jauh sangat.

“Kita akan tingkatkan pendapatan mereka, bukan dengan cara menaikkan gaji tetapi meningkatkan keupayaan ke satu tahap dengan memberi latihan.

“Jadi dasar baru ini bukan hendak menjadi semua rakyat menjadi jutawan namun menaikkan pendapatan mereka,” katanya.

Pengerusi PH itu berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan menteri Kabinet lain.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menjadi keutamaan dalam mencapai dasar Wawasan Kemakmuran Bersama.

Katanya, latihan akan diberikan kepada golongan yang kurang kebolehan bagi memenuhi kehendak pasaran.

“Kertas cadangan ini telah dibentangkan oleh Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali dan terdapat sedikit perbahasan serta dibincangkan tiga jam tadi.

“Kertas ini telah dipersetujui secara prinsip dan akan diserahkan kepada Kabinet untuk disahkan,” katanya.

Sementara itu, dalam sidang media yang sama Dr Mahathir berkata Kelantan, Kedah dan Perlis dikategorikan sebagai negeri miskin yang akan menjadi tumpuan kerajaan.

Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan berhubung perkara itu.

Dr Mahathir turut menjelaskan bahawa mesyuarat khas Kabinet itu yang berlangsung pada hari Sabtu bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana menurutnya kerajaan pernah mengadakan mesyuarat sama sebelum ini.

Lihat Komen