malaysiakini logo
story-image
ADS

Pemimpin PAS dan Umno yakin kerjasama antara kedua-dua parti itu tidak akan menjejaskan sokongan akar umbi.

Bendahari PAS, Iskandar Abdul Samad berkata, akar umbi PAS cukup gembira dengan kerjasama dua parti itu.

Malah, katanya, kerjasama itu akan meningkatkan lagi kekuatan parti mereka.

"Bila dua parti bergabung secara logiknya sokongan meningkat. Respons daripada akar umbi, mereka gembira dengan penyatuan ini.

"Baik dari PAS mahupun Umno, kedua-dua akar umbi cukup gembira," katanya ketika ditemui selepas Himpunan Penyatuan Ummah, di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Bagi Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula, kerjasama berkenaan menurutnya dapat mengembalikan kegemilangan negara.

Katanya, enam bulan sebelum ini selepas Umno dan PAS membentu kerjasama, tumpuan diberikan bagi memperkukuhkan sokongan di peringkat akar umbi.

"Ini sebagai satu mercu tanda yang cukup penting, dimensi permuafakatan yang lebih inklusif untuk semua kaum.

"Enam bulan pertama untuk kita bangkitkan nilai keserasian di peringkat akar umbi supaya mereka lebih memahami," katanya.

Dapat sokongan parti komponen lain

Jelas Asyraf lagi, piagam yang dimeterai hari ini turut mendapat sokongan parti komponen BN yang lain.

Kelmarin, Malaysiakini melaporkan tahap sokongan yang diterima PAS di Selangor - salah satu negeri yang disasarkan parti itu untuk diperintah sebelum ini - menurun kira-kira 7 peratus berbanding sebelum PRU ke-14 lalu.

Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) menunjukkan tahap sokongan semasa kepada PAS menurun kepada 8 peratus berbanding 15 peratus pada Mei lalu, berdasarkan undi popular yang diterima parti berkenaan.

Kaji selidik itu bagaimanapun menjelaskan, kemerosotan itu tidak bermakna mereka sudah mengalih sokongan kepada PH atau Umno.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC M Saravanan menyambut baik kerjasama antara Umno dan PAS dan menyifatkan ia tidak bersifat perkauman.

Katanya, Umno dan PAS hanya membina kekuatan orang Melayu, sama seperti MIC yang memperjuangkan nasib masyarakat India.

"Kita (MIC) sokong kerjasama ini, ia bukan perkara baru. Ia bermatlamat untuk kuatkan orang Melayu.

"Kita tidak rasa terpinggir pun dengan kerjasama ini, piagamnya juga jika kita teliti tidak bersifat perkauman," katanya.

Sementara itu, Bendahari Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP), Kong Tuck Wah, berkata mereka tiada masalah dengan kerjasama itu.

Baginya, kerjasama itu akan memperkukuhkan sokongan bukan saja orang Melayu tetapi juga rakyat Malaysia secara keseluruhannya

"Saya orang Cina, tapi saya tidak ada masalah dengan kerjasama ini," katanya.

Umno dan PAS hari ini secara rasmi memeterai Piaga Muafakat Nasional yang menandakan kerjasama antara dua parti politik terbesar itu bermula secara rasminya.

Lihat Komen