malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Menteri: Terserah kepada Indonesia siasat syarikat M'sia terlibat jerebu
ADS

Indonesia perlu mengambil apa saja langkah sewajarnya dalam soal kebakaran hutan yang menyebabkan masalah jerebu, kata Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin.

Ia termasuklah menyiasat syarikat-syarikat yang dilaporkan terlibat termasuk empat syarikat yang berkaitan dengan Malaysia, katanya.

"Kita percaya Indonesia perlu membuat apa saja yang sewajarnya untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terbukti melanggar undang-undang... Mereka ada kuasa penuh untuk menguatkuasakan undang-undang di negara mereka.

"Bergantung kepada Indonesia untuk menyiasat empat syarikat (berkaitan Malaysia) dan saya rasa ada banyak lagi syarikat di sana yang juga terlibat, menurut laporan ada 30 syarikat," katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Khas Jemaah Menteri Mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030 Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Semalam,kerajaan Indonesia menamakan 2 syarikat berkaitan Malaysia iaitu Sukses Karya Sawit, unit IOI Corporation; Sime Indo Agro, unit Sime Darby Plantation; Rafi Kamajaya Abadi, unit TDM Berhad milik kerajaan Terengganu; dan PT Adei Plantation & Industry, unit Kuala Lumpur Kepong Berhad.

Kerajaan negara itu juga mengumumkan telah menutup kawasan ladang milik sejumlah 30 syarikat - termasuk empat syarikat tersebut - sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap kebakaran hutan.

Pada 11 September lalu, Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya mendakwa jerebu yang melanda Kuala Lumpur juga berpunca daripada Sarawak dan mungkin Kalimantan Barat.

Bagaimanapun Yeo meminta rakan sejawatnya itu tidak berada dalam penafian kerana pengesanan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) menunjukkan bahawa jerebu di Semenanjung Malaysia berpunca dari Sumatera manakala jerebu di Sabah dan Sarawak dari Kalimantan.

Ditanya sama ada Indonesia masih keberatan untuk mengakui kebakaran di negara itu sebagai punca jerebu, Yeo berkata kerajaan negara itu sudah memulakan usaha untuk memadamkannya.

Berkenaan pembenihan awan pula, beliau berkata Tentera Udara Diraja Malaysia dan Jabatan Meteorologi dalam keadaan sedia untuk melaksanakannya.

"Tetapi ini langkah sementara saja. Yang penting pihak Indonesia - dan kalau kita boleh masuk (sertai) - perlu padamkan api dengan segera. Ini adalah keutamaan untuk mengatasi jerebu ini," katanya lagi.

Menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar, hampir separuh daripada kesemua 68 stesen pemantauan di seluruh negara mencatatkan kualiti udara yang tidak baik pagi ini.

Setakat pukul 11 pagi tadi, 30 stesen mencatatkan API "tidak sihat" manakala tiga lagi sangat tidak sihat.

Lihat Komen