Pengiklanan

    Ada rancangan Umno masuk dalam k'jaan negeri PAS - Hadi

    (Dikemaskini )

    Selepas memeterai piagam PAS dan Umno hari ini, Presiden PAS Abdul Hadi Awang memberitahu parti itu mempunyai rancangan untuk memasukkan Umno menjadi sebahagian pentadbiran kerajaan Terengganu dan Kelantan di bawah pemerintahan PAS.

    Meskipun merasakan ia masih berada dalam peringkat awal, Abdul Hadi tidak menolak rancangan tersebut kerana menganggap Umno kini sebahagian daripada keluarga PAS.

    "Itu tunggu bila tiba masa... akan lihat kepada perkembangan selanjutnya.

    "Memang ada rancangan, itu dalam keluarga kami," katanya apabila diminta mengesahkan sama ada terdapat perancangan ke arah tersebut.

    Beliau berkata demikian ketika sidang media bersama pimpinan parti kanan Umno dan PAS, selepas memeterai piagam di Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, Kuala Lumpur hari ini.

    Pada masa sama, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi juga berkata kedua-dua parti itu masih belum membincangkan mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

    "Terlalu awal lah, pramatang untuk kita bincangkan lebih lanjut," katanya.

    Apabila ditanya mengenai kelainan yang akan ditawarkan Umno pada PRU akan datang, Zahid meminta Hadi supaya menjawab soalan tersebut.

    Bagaimanapun, Hadi sambil menyifatkan politik bersifat fleksibel, berkata apa yang penting adalah penyatuan kedua-dua parti tersebut.

    "Fleksibel ini melihat kepada perkembangan dan perubahan. Apa yang penting adalah penyatuan PAS dan Umno.

    "Menjadikan PAS tak bertanding dalam satu kawasan. Kita bersama dalam PRU bagaimana secara objektif kita lihat bila PRU diumumkan," katanya.

    Himpunan tersebut menyaksikan lebih 25,000 anggota PAS dan Umno berduyun-duyun membanjiri bangunan PWTC hari ini untuk menyaksikan peristiwa bersejarah pemeteraian piagam kerjasama antara dua parti itu.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih