Pengiklanan

    Hadi: Dari dulu Umno dan PAS banyak titik persamaan

    (Dikemaskini )

    Menjelaskan hubungan kerjasama Umno dan PAS yang dimeterai secara rasmi hari ini, Abdul Hadi Awang menjelaskan titik persamaan yang dimiliki kedua-dua parti itu sejak sebelum kemerdekaan.

    Menurut Presiden PAS itu, perseteruan yang wujud sepanjang sejarah dua parti itu dalam pentas politik negara hanyalah ekoran perbezaan pendekatan dan salah faham.

    "Pertembungan hanya dalam perbezaan pendekatan dan salah faham dalam perkara cabang yang bersifat teknikal.

    "Maka dalam menghadapi cabaran yang lebih besar, kita wajib bersatu dalam perkara dasar dan asas, dan boleh bertolak ansur dalam perbezaan, serta bermaaf-maafan dalam pertembungan," katanya kepada hadirin di Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur, hari ini.

    Hari ini dua parti terbesar Melayu itu menandatangani Piagam Muafakat Nasional yang antara lain menggariskan matlamat kerjasama.

    Diasaskan pada 1951 sebagai parti serpihan Umno, PAS menyertai Perikatan pada 1972 dan keluar lima tahun kemudian ekoran pergeseran politik dengan Umno.

    PAS yang memiliki 13 kerusi parlimen pada masa itu mencatatkan kekalahan besar pada PRU 1978, apabila hanya menang lima kerusi parlimen.

    Pencapaian parti itu di peringkat persekutuan tidak banyak berubah dalam pilihan raya umum seterusnya apabila gagal menang lebih daripada tujuh kerusi, sehinggalah gerakan Reformasi pada 1998 membawa kepada kebangkitan parti itu pada 1999.

    Di sebalik perseteruan ketat sepanjang tempoh itu, Hadi berkata PAS dan Umno sentiasa mempunyai titik persamaan.

    "Mengapa PAS bersama Umno memulakan pendekatan baru yang diisytiharkan pada hari ini?

    "Ini kerana kedua-dua parti yang berlainan mempunyai titik persamaan paling banyak, menjadi parti paling awal dalam perjuangan kemerdekaan dan ketika mencapai kemerdekaan.

    "Titik persamaan itu telah berjaya meletakkan asas penting dalam Perlembagaan Malaysia iaitu: kedudukan Islam, hak agama lain, hak Bumiputera, bahasa kebangsaan, hak bermasyarakat majmuk dan lain-lain," katanya.

    Katanya lagi, apa yang dilakukan pada masa ini hanyalah menyambung perkara yang telah dimulakan pemimpin negara ketika mencapai kemerdekaan negara.

    Pada masa sama, Hadi berkata orang bukan Melayu dan bukan Islam tidak perlu bimbang dengan kerjasama itu "dengan adanya jaminan keadilan dan hak mengikut Al-Quran".

    "Apa yang dibimbangi pada hari ini adalah keberanian melulu di kalangan parti politik dan individu yang menunjukkan sikap mencabar kedudukan Islam, hak istimewa

    orang Melayu Bumiputera dan Raja-raja, yang boleh mencetuskan ketegangan yang merosakkan hubungan yang telah terjalin dengan baik," katanya lagi.

    Umno dan PAS mula bekerjasama lebih rapat selepas kekalahan BN pada PRU 2018.

    Antara hasil kerjasama itu ialah kemenangan di tiga pilihan raya kecil berturut-turut iaitu di Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih