malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Polis lepaskan Khalid
Diterbitkan:  Sep 14, 2019 2:24 PM
Dikemaskini: 6:53 AM
ADS

Polis telah melepaskan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Ismath pada jam 12.15 tengah hari tadi.

Ketua Pemuda PSM Nik Aziz Afiq Abdul berkata Khalid dibebaskan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur dengan jaminan polis.

Menurut Nik Aziz, pihak polis yang menangkap Khalid lewat malam tadi di rumahnya di Klang telah memaklumkan rakan Khalid bahawa aktivis PSM itu akan ditahan reman.

Khalid ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana dikatakan membuat hantaran di Twitter yang mengkritik Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Bagaimanapun, polis kelihatan mengubah langkahnya selepas dikritik NGO dan MP daripada PH manakala Tunku Azizah sendiri bertitah baginda tidak bersetuju dengan tindakan menahan pengkritiknya itu.

"Pihak polis tidak meneruskan cadangan untuk reman saudara Khalid Ismath sebaliknya hanya diambil keterangan bagi membantu siasatan.

"Kami menegaskan pihak kami sentiasa bersedia untuk berkerjasama dan memberikan keterangan tanpa memerlukan penahanan aktivis kami yang akan merugikan masa dan sumber pihak polis dalam menjalankan tugas mereka," kata Nik Aziz (gambar) dalam suatu kenyataan hari ini.

Ketua pemuda PSM itu turut menjunjung kasih Tunku Azizah atas titah baginda hari ini.

"Kami ucapkan terima kasih atas keprihatinan baginda Raja Permaisuri Agong yang segera respon tentang isu ini bagi meredakan salah faham yang berlaku," katanya.

Nik Aziz turut mengucapkan terima kasih kepada NGO dan aktivis yang bersolidariti dengan Khalid sepanjang malam tadi.

Beliau juga menegaskan pendirian PSM supaya kerajaan PH segera memansuhkan Akta Hasutan 1948 sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

Pagi tadi, Tunku Azizah menzahirkan rasa sedih baginda atas penangkapan pengkritiknya.

"Tidak ada niat saya supaya mereka itu di tangkap polis, saya sendiri beritahu pihak istana untuk beri tahu pihak polis jangan ambil tindakan.

"Walaupun selama ini saya dan suami dikeji, dituduh, dihentam, dimaki hamun...Kami berdua (Agong dan Raja Permaisuri) tidak pernah buat laporan polis.

"Saya tidak pernah sedih malah ketawa bila baca, kerana Allah tahu saya siapa," titah baginda.

Lihat Komen