Pengiklanan

    Umno, PAS akhirnya meterai Piagam Muafakat Nasional

    (Dikemaskini )

    Umno dan PAS akhirnya memeterai piagam kerjasama, yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional, di Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putran (PWTC) Kuala Lumpur, hari ini.

    Ia selepas presiden kedua-dua parti, Ahmad Zahid Hamidi dan Abdul Hadi Awang, menyampaikan ucapan masing-masing.

    Di depan lebih 2,000 perwakilan dua parti itu, piagam tersebut dibaca bersama oleh Setiausaha Agung Umno Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

    Pada masa sama 5,000 lagi memenuhi kawasan luar Dewan Merdeka di ibu pejabat Umno itu.

    Annuar dilihat sebak dan hampir menitiskan air mata ketika membaca piagam tersebut, yang antara lain menggariskan matlamat kerjasama - atau taawun siyasi - dua parti terbesar orang Melayu itu.

    Piagam tersebut kemudian ditandatangani Zahid dan Hadi, sambil diiringi lagu Teman Sejati dendangan kumpulan nasyid Brothers.

    Pemeteraian itu disaksikan pemimpin utama kedua-dua parti. Ia kemudian disambut laungan takbir oleh hadirin.

    Antara yang berada di pentas ketika itu ialah Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan dan bekas perdana menteri Najib Razak.

    Suasana dalam Dewan Merdeka tampak beremosi dengan ada perwakilan kedua-dua parti yang sebak susulan termeterainya kerjasama itu.

    Acara pemeteraian itu diakhiri dengan bacaan doa oleh bekas menteri di jabatan perdana menteri, Jamil Khir Baharom.

    Dalam Piagam Muafakat Nasional itu, Umno dan PAS menyatakan komitmen untuk:

    • Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan yang menjamin Islam sebagai agama persekutuan, kedaulatan Raja-raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum-kaum lain, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk.
    • Memperkukuh muafakat nasional melalui perbincangan melibatkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya.
    • Memperkasa agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan negara sejahtera.
    • Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.
    • Mengikhtiar secara kolektif satu citra dan tawaran baru untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih