malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
MP ingatkan moratorium terhadap Akta Hasutan
Diterbitkan:  Sep 14, 2019 12:23 PM
Dikemaskini: 5:33 AM
ADS

Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim mengingatkan polis berkenaan moratorium terhadap penggunaan Akta Hasutan 1948, susulan penahanan aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Khalid Ismath di bawah akta itu semalam.

"Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah berjanji akan memansuhkan Akta Hasutan.

"Tindakan moratarium atau menggantung Akta Hasutan patut dilaksanakan sebelum langkah pemansuhan dikuatkuasakan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menggesa Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin agar mengambil tindakan sewajarnya - termasuk janji PH untuk memansuhkan akta tersebut.

Selain itu, beliau juga memohon Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador agar segera membebaskan Khalid.

Semalam, polis menahan Khalid berhubung dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di media sosial.

Hari ini, Tunku Hajah Azizah menzahirkan perasaan sedih dan marah terhadap tindakan polis menangkap pengkritik baginda.

"Sepanjang tahun, suami saya dan saya tidak pernah membuat sebarang laporan polis mengenai perkara-perkara buruk yang dikatakan tentang kami. Ini adalah negara yang bebas," katanya di Twitter.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Bukit Aman Huzir Mohamed pula berkata Khalid akan dibebaskan dengan jaminan polis hari ini, selepas keterangannya diambil.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Suaram D Sevan mengkritik tindakan polis yang menahan Khalid pada waktu malam, yang disifatkannya sebagai satu intimidasi.

"Rekod Khalid bekerjasama penuh dengan polis sebelum ini dalam sebarang siasatan, menunjukkan tindakan penangkapan pada lewat malam oleh pegawai penyiasat tidak masuk akal.

"Polis sering digambarkan sebagai kurang sumber, jadi kenapa membuang masa dan sumber tenaga kerja dengan cara sedemikian?" soalnya.

Beliau juga mengulangi gesaan agar akta itu dimansuhkan.

Pada Oktober 2018, kerajaan mengumumkan moratorium atas Akta Hasutan sementara penghapusan undang-undang tersebut.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Peguam Negara Tommy Thomas berkata akta itu masih boleh digunakan sebagai "jalan terakhir" selagi ia belum dibatalkan Parlimen.

Lihat Komen