malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Jerebu: 33 lokasi udara cemar memburuk, IPU tak sihat
Diterbitkan:  Sep 14, 2019 9:34 AM
Dikemaskini: 3:12 AM
ADS

Hampir separuh dari kesemua stesen di seluruh negara telah mencatatkan kualiti udara yang buruk, menurut Indeks Pencemaran Udara (IPU) Jabatan Alam Sekitar.

Sehingga jam 8 pagi hari ini, 30 stesen di seluruh negara mencatatkan bacaan IPU "tidak sihat" manakala tiga lagi stesen merekodkan bacaan "sangat tidak sihat."

Terdapat sejumlah 68 stesen pengesan pencemaran kualiti udara di seluruh negara.

35 lagi stesen mencatat bacaan sederhana. Tiada stesen yang mencatatkan kualiti udara yang baik.

IPU 0-50 bermaksud kualiti udara yang baik, 51-100 adalah sederhana, 101 hingga 200 tidak sihat, 201 hingga 300 sangat tidak sihat, manakala 300 dan ke atas memberi amaran berbahaya untuk kesihatan.

Di semenanjung Malaysia, semua stesen pemantauan di Lembah Klang, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang mencatatkan kualiti udara tidak sihat.

Keadaan Tangkak dan Johan Setia khususnya adalah buruk apabila kedua-dua kawasan mencatatkan IPU 204 yang sangat tidak sihat.

Semua stesen pemantauan di Lembah Klang merekodkan IPU tidak sihat lebih daripada 150, dengan beberapa kawasan mendekati tahap sangat tidak sihat.

Hanya hujung selatan Johor, bahagian utara Taiping, Terengganu dan Kelantan mempunyai kualiti udara sedikit lebih baik, pada tahap sederhana.

Di Malaysia Timur pula, tujuh dari 33 stesen pemantauan menunjukkan kualiti udara buruk, yang paling teruk adalah di Kuching dengan bacaan IPU sangat tidak sihat pada tahap 205.

Sementara itu, sebahagian besar kawasan di Sabah yang sebelum ini tidak mendapat jerebu kini turut menyaksikan pencemaran udara yang semakin memburuk dengan kualiti udara di Tawau merosot ke tahap tidak sihat, pada IPU 118.

Data Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) terus memperlihatkan kawasan panas di Kalimantan, Indonesia.

Menurut ASMC, setakat ini terdapat 627 kawasan panas di Kalimantan dan 55 di Sumatera, 10 di Sabah dan Sarawak serta satu di Semenanjung Malaysia.

Pengesanan ASMC menunjukkan jerebu di Malaysia Barat berasal dari Sumatera manakala jerebu di Malaysia Timur pula datang dari Kalimantan.

Lihat Komen