malaysiakini logo
story-image
story-image
mk-logo
Berita
Pengikut Syiah dakwa dicederakan polis dijangka serah laporan perubatan hari ini
ADS

Beberapa pengikut aliran Syiah yang dijangka menyerahkan laporan perubatan kepada polis hari ini, susulan dakwaan dicederakan anggota polis ketika serbuan beberapa hari lalu.

Pada 11 September lalu tiga laporan polis dibuat berhubung insiden itu yang berlaku di Kempas dua hari sebelumnya.

"Kami jangka akan serahkan laporan perubatan hari ini," kata salah seorang yang membuat laporan itu, Muhammad Fadlie, 34, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Kami diberitahu bahawa polis sedang siasat laporan kami. Selain itu, lima daripada lapan individu yang ditangkap ketika serbuan tersebut turut telah dipanggil untuk memberi kenyataan," katanya lagi.

Dalam insiden itu, tidak kurang 20 pegawai dan anggota Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dengan diiringi polis dilapor membuat serbuan dalam satu majlis anjuran pengikut aliran itu sempena Hari Asyura, untuk mengenang ulang tahun kematian Husayn ibn Ali, cucu kepada Nabi Muhammad SAW yang merupakan imam ketiga dalam aliran Syiah.

"Pihak polis dan JAINJ datang dengan lori Black Maria dan sekurang-kurangnya enam kereta peronda," kata seorang saksi yang dipetik oleh Free Malaysia Today.

Lapan orang dilaporkan ditangkap, termasuk seorang rakyat Yaman dan dua rakyat Singapura.

Mereka yang ditangkap itu dikatakan sedang disiasat di bawah Seksyen 9 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Johor, iaitu melanggar titah sultan, dan arahan mufti serta fatwa. Peruntukan itu membawa hukuman maksimum denda RM3,000 dan penjara setahun.

Memetik salah satu laporan polis yang dibuat individu bernama Shamsuri Johari, anggota polis juga didakwa menggari tangan, mengacu pistol di kepala, serta menunjukkan pistol di pinggang kepada pengikut wanita.

"Sebahagian Anggota JAINJ memanjat pagar untuk menceroboh masuk ke dalam premis (persendirian) untuk melakukan serbuan," dakwa laporan itu lagi.

Sementara itu, Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa polis sedang menyiasat dakwaan tersebut.

"Tindakan akan diambil jika ada anggota terbabit didapati bertindak kasar dalam operasi pihak berkuasa agama," katanya.

Pada masa sama, beliau juga berkata tindakan akan diambil kepada pihak yang membuat laporan itu jika dakwaan berkenaan kekerasan itu palsu.

Exco nafi ada kekerasan

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar, Tosrin Jarvanthi dilapor menegaskan operasi berjalan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Beliau menafikan dakwaan berlaku kekerasan.

"Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang mengatakan berlaku kekerasan ketika operasi dijalankan.

"JAINJ menjalankan operasi mengikut SOP ditetapkan," katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mazhab Syiah yang mempunyai ramai pengikut di nagara seperti Iraq, Iran, Kuwait, Bahrain, Lubnan Yaman dan Pakistan, adalah cabang Islam kedua terbesar di dunia.

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah memutuskan bahawa semua jenis ajaran Syiah sesat.

Lihat Komen