Pengiklanan

    Pemuda Umno persoal bajet 21 kali ganda untuk projek NFCP

    (Dikemaskini )

    Di sebalik penjelasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai projek Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), Pemuda Umno Wilayah Persekutuan terus mempersoalkan projek tersebut.

    Ketua Penerangan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan menggesa kerajaan menjelaskan projek mega berkenaan yang didakwanya 'memanfaatkan' segelintir pihak tertentu.

    Katanya, Kementerian Kewangan dalam Bajet 2019 memperuntukkan RM1 bilion kepada projek NFCP, namun meningkat kepada RM21.6 bilion iaitu lebih 21 kali ganda.

    "Soalannya mana datang tambahan (peruntukkan)? Kenapa bajet bertambah lebih 21 kali ganda? Kalau (dalam) bajet semua diambil kira, bagaimana boleh naik secara mendadak?

    "Ini kita agak bimbang kerana bajet tambahan ini beban kepada kerajaan dan rakyat," katanya kepada pemberita di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

    Pada Julai tahun ini, Mukhriz yang juga menteri besar Kedah dan anak kepada perdana menteri Dr Mahathir Mohamad melupuskan 72,600 saham dalam Opcom Holdings Berhad (Opcom) yang didakwa pihak tertentu memonopoli projek NFCP.

    Menurut pemfailan Opcom di Bursa Malaysia pada 13 Ogos lalu, timbalan ketua pegawai eksekutif (CEO) Opcom, Chhoa Kwang Hua, mengasaskan firma itu bersama Mukhriz pada tahun 1994.

    Pegangan Mukhriz kini dilaporkan sebanyak 34.89 juta saham atau 21.64 peratus kepentingan.

    Sebulan sebelum itu, abangnya, Mokhzani Mahathir meletak jawatan sebagai pengerusi eksekutif Opcom dan kedudukan lain atas alasan peribadi.

    Bagaimanapun Pengerusi SKMM Al-Ishal Ishak pada 5 Sept lalu menjelaskan bahawa dakwaan Opcom memonopoli projek NFCP sebagai tuduhan tidak bijak.

    "Kebetulan Opcom adalah pengeluar gentian optik. Terdapat banyak pengeluar gentian optik lain.

    "Kita (SKMM) tidak membeli gentian optik. Syarikat telekom yang membelinya, mereka melalui pelbagai sumber pembelian, pengambilalihan dan sebagainya," kata Ishal.

    'Pergerakan saham luar biasa'

    Menurut Wan Agly, walaupun tiada bukti kukuh, namun lonjakan saham kepada 43 peratus dan tindakan pelupusan saham oleh Mukhriz dalam Opcom tidak boleh dianggap sebagai kebetulan.

    "Memang Mokhzani (Mahathir) dan Mukhriz tidak memegang apa-apa jawatan dalam Opcom. Tapi, mereka masih pemegang saham tertinggi di syarikat tersebut. Syarikat ini dikatakan telah berjaya mendapatkan projek mega pertama dari kerajaan Pakatan Harapan.

    "Kami tidak tuduh. Tapi, kami cuma nak penjelasan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM)," katanya.

    Akhbar The Edge bulan Ogos melaporkan harga saham Opcom naik secara mendadak dan ia dikaitkan dengan spekulasi bahawa firma itu akan menjadi benefisiari projek NFCP.

    "Kalau kita lihat, ada banyak kekeliruan di sini. Kami tertanya-tanya apakah Suruhanjaya Sekuriti (SC) mengetahui akan pergerakan saham yang luar biasa ini. (kenaikan 43 Peratus saham Opcom).

    "Adakah SC merasakan bahawa terdapat aktiviti-aktiviti 'insider trading' sedang berlaku? Kami harap kekeliruan ini dapat dirungkai dan dijawab," tambah Wan Agyl.

    Beliau turut memberi tempoh seminggu kepada KKMM untuk membalas soalan-soalan yang dibangkitkannya.

    "Sekiranya tidak, kami akan ke SPRM, SC, dan pihak polis untuk membuat aduan," katanya lagi.

    NFCP merupakan projek mega kerajaan PH untuk menyediakan ketersambungan digital di seluruh negara pada kelajuan lebih baik dan mampu pada kos yang dijangka sebanyak RM21.6 bilion dalam tempoh lima tahun.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih