Pengiklanan

    'Umno-PAS harapan atas kegagalan PH, orang bukan Islam tak perlu takut'

    (Dikemaskini )

    Tiba esok, ibu pejabat Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur akan menjadi saksi kepada perikatan dua parti yang suatu ketika dulu musuh ketat, yang bertaut setelah musuh bersama - Pakatan Harapan (PH) - menang pada PRU lalu.

    Selepas kerjasama Umno dan PAS tampak berjaya dalam tiga pilihan raya kecil (PRK), ia membawa kepada "perkahwinan" dengan harapan kedua-dua parti dapat menggabungkan asas sokongan Melayu dan Muslim mereka.

    Bagaimanapun senator Umno Khairul Azwan Harun berkata masih terlalu awal untuk menyimpulkan perikatan itu akan meningkatkan lagi politik perkauman.

    "Hakikatnya saya melihatnya sebagai satu harapan.

    "Saya melihatnya sebagai peluang untuk seluruh rakyat Malaysia yang bosan dengan perpecahan kaum pada masa ini susulan kepimpinan tanpa hala tuju dan janji tak ditepati, untuk memulakan perbincangan berkenaan membina semua masyarakat yang toleran dan ekonomi yang bingkas.

    "Perikatan ini perlu menjamin semua kaum menerima peluang yang saksama untuk mengejar cita-cita mereka," katanya lagi.

    Seperti DAP dan PKR pada masa lalu, kata Azwan, hubungan baru Umno dan PAS ini adalah berdasarkan logik.

    "Hakikatnya ialah perikatan seperti ini, sementara memberikan dasar yang konkrit, juga memberi lebih jaminan kepada majoriti, golongan yang paling kecewa sejak kebangkitan PH," katanya.

    Ketua Pemuda Umno Johor Mohd Hairi Mad Shah pula menggesa orang bukan Islam agar tidak takut dengan kerjasama Umno dan PAS.

    "Kepada bukan Islam, usah takut dengan penyatuan ummah ini, ia bukan agenda rasis apatah lagi ekstrem. Ini agenda untuk semua, buka saja orang Melayu Islam, tetapi rakyat Malaysia berbilang kaum keseluruhannya.

    "Ini agenda untuk membentuk kuasa politik rakyat bagi menentang PH yang ketika ini bukan saja gagal mentadbir negara, tetapi lebih daripada itu sedang merosakkan negara yang dibina selama ini oleh BN yang mana kemakmurannya dapat kita nikmati bersama," katanya.

    Di bawah BN, katanya, ekonomi negara makmur, isu perkauman dapat dikawal, dan penghinaan terhadap agama dan institusi diraja dicegah dengan berkesan.

    Justeru beliau menggesa semua warga Malaysia untuk menjayakan kerjasama itu untuk "menyelamatkan negara tercinta daripada terus dirosakkan PH".

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih