malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Mujahid tegur pihak permainkan kalimah ‘rahmatan lil alamin’
Diterbitkan:  Sep 13, 2019 1:37 PM
Dikemaskini: 5:37 AM
ADS

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof menegur pihak yang mempermaikan kalimat “rahmatan lil alamin” (rahmat ke seluruh alam) kini dijadikan pendekatan kerajaan.

Beliau mengingatkan bahawa kalimah itu diambil daripada firman Allah dalam al-Quran.

“Saya hairan, orang dengar rahmatan lil alamin, dikaitkan jual agama, membiarkan kemungkaran berlaku, kita jadi khadam (pihak) dot dot dot.

“Anda boleh berkata apa saja, konon andalah hebat.

“Tapi ketahuilah, ayat ini lebih hebat daripada ayat semua yang kata dia hebat, kerana dia merupakan firman Allah, satu penyataan yang kerananya dibangkitkan junjungan besar Nabi Muhammad SAW,” katanya.

Kata menteri yang memegang portfolio agama itu, rahmatan lil alamin dijadikan olok-olokan dengan ungkapan seperti “rahmatan lil kafirin” (rahmat untuk orang kafir) serta “rambutan lil alamin”, semata-mata bagi membuat orang ketawa.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Majlis Sambutan Maal Hijrah 1441H Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur hari ini.

Rahmatan lil alamin merupakan dasar kerajaan yang bercirikan Malaysia sebagai sebuah negara mempunyai kepelbagaian kaum dan agama.

Rahmatan lil alamin disebut dalam al-Quran dalam Surah Al-Anbiya' ayat 107, yang menyatakan Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menjadi rahmat buat sekalian alam.

Sejak diperkenalkan, gagasan itu mendapat herdikan dan sindiran beberapa pihak termasuk pembangkang yang mendakwa gagasan itu seolah-olah sekadar dijadikan alasan untuk umat Islam beralah dalam hal-hal yang dakwa mereka, merugikan umat Islam.

Ini bukanlah kali pertama Mujahid menyelar sindiran-sindiran yang dilemparkan terhadap dasar rahmatan lil alamin yang digagasnya.

Dalam ucapan sama, Mujahid turut menyatakan pendirian tegasnya untuk mempertahankan gagasan rahmatan lil alamin biarpun diherdik dengan lelucon daripada pelbagai pihak.

“Anda mungkin membikin orang ketawa kerana memenuhi nafsu supaya anda dilihat hebat (dengan sindiran-sindiran yang dibuat).

“Demi Allah, saya nyatakan, saya akan mempertahankan rahmatan lil alamain sebagaimana yang diajarkan oleh Islam kepada kita!” katanya dalam nada tegas.

Lihat Komen