malaysiakini logo
story-image
story-image
ADS

Kira-kira 9,000 pendatang tanpa izin ditahan di 14 depot tahanan Imigresen di seluruh negara, kata Ketua Pengarah Imigresen Khairul Dzaimee Daud.

Berdasarkan angka itu, beliau berkata kerajaan membelanjakan kira-kira RM3.5 juta setiap bulan bagi menampung kos makanan untuk warga asing yang ditahan di depot berkenaan.

"Ini tidak termasuk kos perubatan, utiliti dan kos penyelenggaraan bangunan depot tahanan, jika mereka sakit akan diberikan rawatan.

"Tempoh mereka menetap di depot tahanan bergantung kepada tempoh pemprosesan dokumen serta hukuman penjara mereka," katanya dalam temu bual bersama Bernama, semalam.

Khairul Dzaimee berkata pendatang tanpa izin akan dihantar ke depot tahanan setelah menjalani hukuman penjara atas kesalahan yang dilakukan dan sementara menunggu proses penghantaran pulang ke negara asal mereka.

Beliau berkata proses dokumentasi untuk penghantaran pulang itu memakan masa sekurang-kurangnya tiga minggu dan selewat-lewatnya tiga hingga empat bulan.

"Segala proses ini melibatkan Imigresen dengan kedutaan dan mengikut Prosedur Operasi Standard, keutamaan akan diberi kepada wanita dan kanak-kanak yang ditahan,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 41,041 warga asing dari pelbagai negara telah diusir pulang oleh Jabatan Imigresen atas pelbagai kesalahan, dalam tempoh Januari hingga 9 Sept tahun ini.

“Selain itu, jumlah terkini warga asing yang menunggu giliran untuk dihantar pulang ialah 9,532 orang.

“Kesemua mereka yang menunggu giliran kini ditahan di 14 depot Imigresen di seluruh negara," katanya tanpa mendedahkan pecahan mengikut negara.

Kapasiti di 14 depot di seluruh negara boleh memuatkan 13,000 tahanan pada satu-satu masa.

-Bernama

Lihat Komen