Pengiklanan

    Dakwaan remaja termasuk anak 'Datuk Seri' dipukul polis disiasat

    (Dikemaskini )

    Polis telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan mengenai beberapa remaja termasuk seorang anak kepada individu bergelar 'Datuk Seri' dipukul oleh anggota polis di Pantai Klebang di Melaka pada 31 Ogos lepas.

    Ketua Polis Melaka Datuk Raja Shahrom Raja Abdullah berkata kertas siasatan itu dibuka mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

    "Kita maklum sebuah video (sidang media) telah tular di media sosial, siasatan masih berjalan kerana adanya isu bersangkut dengan mendatangkan ancaman kepada pegawai dan anggota polis.

    "Jika ada pihak mempunyai video kejadian itu (dakwaan remaja dipukul) berlaku, kita mohon serahkan video tersebut kepada pihak polis supaya kita dapat jalankan siasatan secara lebih teliti.

    “Kita nak lihat kepada kebenaran dan siasatan adalah untuk mencari kebenaran," katanya.

    Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perbarisan dan Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Melaka dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Kontinjen Melaka, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, di sini hari ini.

    Sebuah video berdurasi 51:51 minit dengan tajuk 'Sidang Media: Mencari Keadilan Untuk Anak Muda (Kes Segelintir Anggota Polis Salahguna Kuasa Pukul Anak Muda)' yang mendakwa remaja dianiaya dan dipukul beberapa anggota polis di Pantai Klebang tular di media sosial sejak 7 Sept lepas sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen.

    Menyentuh masalah jerebu yang melanda beberapa negeri, Raja Shahrom berkata, polis sedia memberikan kerjasama kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang melakukan pembakaran terbuka.

    Menurut laman web Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU), dua lokasi mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat setakat 2 petang ini iaitu Alor Gajah dan Bukit Rambai, kedua-duanya merekodkan bacaan IPU 107.

    Terdahulu, pada majlis berkenaan, Raja Shahrom diisytiharkan bersara selepas 35 tahun berkhidmat dalam pasukan PDRM. Majlis serah terima tugas itu disaksikan Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 Bukit Aman, Datuk Rosly Abas.

    Acara menandatangani surat serah dan terima jawatan turut diadakan antara Raja Shahrom dan timbalannya Datuk Sharul Lalli Masduki yang akan memangku jawatan Ketua Polis Melaka berkuat kuasa hari ini.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih