malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Tak puas hati dengan Nga, 2 Adun Perak letak jawatan dalam DAP
Diterbitkan:  Sep 11, 2019 8:05 PM
Dikemaskini: 12:40 PM
ADS

Dua anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Perak dari DAP hari ini mengumumkan peletakan jawatan dalam jawatankuasa DAP negeri berikutan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming.

Adun Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan Adun Pokok Assam, Leow Thye Yih masing-masing meletakkan jawatan sebagai Timbalan Bendahari dan Penolong Setiausaha Organisasi peringkat DAP Perak sebagai tanda protes kepada Nga.

Menurut Leong, mereka tidak puas hati dengan kenyataan Nga bahawa kedudukan exco, Paul Yong Choo Kiong yang kini berdepan tuduhan rogol di mahkamah, akan dibincangkan pada peringkat Pakatan Harapan (PH) tanpa diberitahu kepada jawatankuasa negeri DAP terlebih dahulu.

Beliau berkata, sebarang keputusan yang dibuat oleh DAP Perak sepatutnya dibincangkan dalam jawatankuasa negeri.

“Oleh itu, kita rasa jawatankuasa negeri tidak berfungsi dengan baik. Sekiranya kami meneruskan (peranan) sebagai ahli juga kami rasa tidak berguna. Maka, kami isytihar keluar dari jawatankuasa ini.

“Bagaimanapun, kami menegaskan kami masih kekal sebagai Adun dan ahli DAP, dan masih taat kepada pimpinan pusat dan Setiausaha Agung, Lim Guan Eng,” jelasnya dalam sidang media pada petang ini di pejabat guamannya yang terletak di Ipoh.

Leong yang juga peguam Paul, berkata kedudukan anak guamnya seharusnya tidak perlu dibincang kerana Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu telah memberi jaminan bahawa posisinya tidak akan terjejas dan tiada rombakan exco akan dilakukan.

Leong dan Leow mengumumkan perletakan jawatan itu sebagai maklum balas terhadap kenyataan Nga (Gambar) di Taiping hari ini yang dilaporkan akhbar berbahasa Cina, Oriental Daily bahawa PH akan membincangkan kedudukan Paul sebagai exco Perak dan keputusan akan dibuat pada masa yang sesuai.

Leong turut berharap perletakan jawatan itu dapat memberi satu pengajaran kepada ahli DAP.

“Apabila komrad parti dianiayai, kita tidak harus menahan jerat di tempat genting, tetapi sepatutnya menyokong beliau untuk kembalikan maruah dan meneruskan tanggungjawab dan tugas sebagai exco,” ulasnya.

'Kuasa setiausaha Nga lebih besar dari Adun'

Sementara itu, Leow turut meluahkan ketidakpuasan hati terhadap Nga dan mendakwa kuasa pembantu setiausaha Nga terlalu besar sehingga Adun-adun lain “ditindas”.

“Saya juga amat tidak puas hati, di kawasan Taiping dan Teluk Intan, kuasa setiausaha pengerusi adalah lebih besar daripada kami sebagai Adun.

“Sebarang perkara yang ingin dilakukan mesti melalui setiausahanya. Kami sebagai adun macam tiada kuasa, seolah-olah ditindas,” dakwanya.

Bagaimanapun, Nga dalam kenyataan pada petang tadi menjelaskan bahawa ini hanyalah salah faham.

Dalam kenyataannya berbahasa cina, Nga berkata dakwaan Leong dan Leow adalah tidak berasas.

“Jika ada sebarang salah faham, biar selesaikan secepat mungkin,” katanya.

Tegasnya, beliau kekal memberi sokongan kepada Paul dan percaya Paul tidak bersalah.

Nga turut mempelawa dua Adun tersebut untuk berjumpa dan berbincang bagi menyelesaikan sebarang salah faham.   

Lihat Komen