malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
‘Jerebu dari Sarawak? Lihat peta yang betul’
ADS

Timbalan Ketua Menteri II Sarawak, Douglas Uggah Embas terkejut dengan dakwaan Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia Siti Nurbaya yang mendakwa bahawa jerebu yang menjejaskan Semenanjung Malaysia berasal dari Sarawak.

"Jika apa yang dikatakannya adalah benar, ini benar-benar mengejutkan. Jika kamu lihat peta satelit, jelas sekali dari mana jerebu itu berasal," kata Uggah kepada Malaysiakini.

Siti Nurbaya mendakwa Malaysia tidak mendedahkan fakta sebenar mengenai jerebu tersebut.

Ini adalah di sebalik pengesanan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) yang menunjukkan bahawa jerebu di Semenanjung Malaysia berasal dari Sumatra manakala jerebu di Sarawak pula berasal dari Kalimantan.

Pengesanan ASMC, yang berdasarkan data dari Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat tidak menunjukkan sebarang jerebu yang merentas Laut China Selatan antara Malaysia Timur dan Barat.

Pengesanan sehingga semalam, menunjukkan titik panas yang meluas di Sumatera dan Kalimantan dengan kesan jerebu yang teruk tertumpu di kedua-dua wilayah itu.

Uggah berharap Siti Nurbaiya akan mendapatkan fakta-faktanya dengan betul.

“Saya harap dia lihat peta yang betul, dia tidak seharus menuding jari ke negara yang salah," katanya.

Kuala Lumpur dan Sarawak adalah antara kawasan paling teruk terjejas di Malaysia akibat jerebu.

Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mengulangi kebimbangan negara mengenai masalah jerebu rentas sempadan semasa pertemuan dengan Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia Agus Badrul Jamal dan Kaunselor Penerangan dan Sosial Budaya Agung Cahaya Sumirat.

Lihat Komen