Pengiklanan

    'Rakyat Malaysia tak patut kekok cakap bahasa Melayu'

    (Dikemaskini )
    Faisal Asyraf  |  Berita

    Masih ada rakyat di negara ini tidak yakin untuk bercakap dalam Bahasa Melayu walaupun sekolah menekankan mengenai penggunaan bahasa kebangsaan.

    Wakil Kementerian Pendidikan, Shamsudin Mohamad berkata penggunaan bahasa kebangsaan dalam pendidikan merupakan tunjang jati diri dan medium dalam mencapai perpaduan.

    "Jadi, yang pertama sekali, bahasa kebangsaan - bahasa Melayu. Memang ada banyak kekurangan di sini. Rakyat Malaysia nak cakap bahasa Melayu pun masih tak yakin. Masih ada gap yang kita perlu baiki.

    "Kita rakyat Malaysia patut tak kekok bercakap bahasa Melayu," katanya.

    Shamsudin berkata demikian selaku ahli panel dalam Seminar "Memperkasa Perpaduan Dalam Sektor Pendidikan' yang diadakan di Institut Antarabangsa Peradaban Islam dan Dunia Melayu (ISTAC), Kuala Lumpur.

    Katanya, pembinaan identiti nasional dengan semangat kebangsaan adalah perlu dalam melahirkan pelajar yang bersatu padu, dengan memastikan sekolah kebangsaan menjadi pilihan ibu bapa.

    "Pengalaman saya pergi Shanghai tiga minggu, mereka cakap Mandarin. Menteri mereka pun kalau bagi PC (sidang media) menggunakan bahasa Mandarin," katanya.

    Galak ibu bapa hantar anak ke sekolah kebangsaan

    Shamsudin juga ditanya mengenai persepsi sesetengah pihak bahawa kini lebih ramai ibu bapa memilih menghantar anak mereka ke sekolah vernakular berbanding sekolah kebangsaan.

    "Kita bagi kebebasan kepada ibu bapa untuk hantar anak-anak mereka ke mana saja. Bagi yang mampu, yang nak bagi kemahiran lebih, boleh hantar ke international school. Demokrasi dari segi pendidikan, tak ada isu.

    "Kita nak galakkan ibu bapa hantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Kita dah tambah baik prasarana untuk dapat peluang sebaik mungkin. Guru-guru kita dapat latihan mencukupi. Latihan khusus dan sebagainya," katanya.

    Ditanya oleh peserta sama ada kerajaan satu hari nanti berhasrat menghapuskan sekolah vernakular dan memberi tumpuan kepada sekolah satu aliran, Shamsudin berkata ia memerlukan kajian dan sejauh mana masyarakat boleh menerimanya.

    "Apa hasrat ibu bapa kita terhadap sistem pendidikan. Adakah semua ahli masyarakat boleh menerima konsep satu aliran. Sejauh mana kita boleh berkorban, berbincang, berdialog, itu bergantung kepada masyarakat," katanya.

    Ahli panel lain termasuk Shukri Kamarudin daripada Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.

    Forum itu dimudah cara oleh Pengerusi Yayasan Perpaduan Malaysia, Suresh Kumar.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih