Pengiklanan

    MIC: Dulu DAP pun bekerjasama dengan PAS

    (Dikemaskini )
    B Nantha Kumar  |  Berita

    Perhimpunan Penyatuan Ummah yang akan menyaksikan Umno dan PAS menandatangi piagam bersama hanya merupakan kerjasama politik, kata Ketua Penerangan MIC, V Gunalan.

    Katanya, tiada salahnya kedua-dua parti itu bekerjasama kerana sebelum ini DAP juga berbuat demikian apabila menjalinkan kerjasama dengan PAS di bawah Pakatan Rakyat.

    "Kalau dulu DAP dan PAS boleh bekerjasama hampir 10 tahun, apa salah piagam Umno-PAS.

    "Lagipun, ia hanya kerjasama politik bukan PAS menyertai gabungan BN," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

    Katanya, tidak timbul isu bahawa PAS akan menyertai BN kerana ia memerlukan persetujuan parti-parti komponen lain iaitu MCA dan MIC terlebih dahulu.

    "Sebagai komponen BN, MIC dan MCA perlu memberi kebenaran kepada PAS atau parti lain untuk menyertai BN. 

    "Dan kami mempunyai beberapa syarat sebelum mengambil sesebuah parti sebagai komponen BN," katanya.

    Beliau turut memberitahu kerjasama tersebut tidak akan memberi kesan kepada masyarakat bukan Islam seperti mana didakwa Pakatan Harapan (PH).

    "Sebagai contoh Kelantan diperintah oleh PAS dan kita tidak pernah dengar bukan Muslim di Kelantan diasingkan atau dianiaya," katanya.

    Piagam bersama antara Umno dan PAS bakal dimeterai pada 14 September bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

    Ia akan ditandatangani oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

    Mengulas lanjut, Gunalan berkata MIC diundang ke majlis itu sebagai parti komponen BN dan 'rakan kerja' PAS dalam beberapa pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini.

    "Jadi, kami ke sana sebagai tetamu. Perkara (isu mengenai) ahli baru dalam gabungan BN tidak akan dibincang di majlis itu. Ia akan diputuskan oleh Presiden MIC, MCA dan Umno," jelasnya lagi.

    Sebelum ini Presiden MCA Wee Ka Siong dilihat menjarakkan partinya daripada piagam berkenaan dan mengatakan "Ini adalah kerjasama yang erat antara Umno dan PAS."

    Presiden MIC, S Vigneswaran pula berkata beliau hanya akan hadir sebagai saksi dan tidak memainkan peranan dalam perjanjian berkenaan.

    MCA, MIC akan disisihkan, dakwa DAP

    Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan mendakwa MCA dan MIC akan disisihkan apabila Umno dan PAS mengikat kerjasama.

    "Ini negara demokratik. Sesiapa pun boleh bekerjsama dengan parti yang disukai.

    "Tapi piagam Umno-PAS membangkitkan banyak soalan. Umno sedang bersama dengan dua parti (MCA dan MIC) merangkumi bukan Muslim, apakah pendirian Umno selepas ini?".

    "Adakah Umno bincang dengan MCA-MIC sebelum bersetuju bekerjasama dengan  PAS?" kata Sivanesan.

    Exco negeri Perak itu turut berkata pendekatan diamal parti-parti komponen dalam PH berbeza dengan BN.

    "Dalam PH semua parti adalah sama. 

    "Tapi dalam BN, Umno selalu bertindak sebagai 'abang'. Dan MCA dan MIC cuma 'yes sir' sahaja.

    "Dengan kerjasama PAS, MCA dan MIC boleh bersuara tapi ia tidak akan diambil kira. 

    "Akhirnya yang kalah masyarakat bukan Muslim termasuk orang Sabah dan Sarawak," katanya menambah Umno dan PAS berkongsi matlamat untuk memerintah negara.

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih