Pengiklanan

    Indonesia dakwa jerebu di Kuala Lumpur berasal dari Sarawak

    (Dikemaskini )
    Berita

    Menteri Alam Sekitar dan Perhutanan Indonesia, Siti Nurbaya, mendakwa bahawa jerebu yang menyelubungi Kuala Lumpur berasal dari Sarawak.

    "Ada informasi yang dia tidak buka. Kerana sebetulnya asap yang masuk ke Malaysia, ke Kuala Lumpur, itu dari Sarawak kemudian dari Semenanjung Malaya (Malaysia), dan juga mungkin sebagian dari Kalimantan Barat.

    “Seharusnya pemerintah Malaysia objektif menjelaskannya," katanya yang dipetik oleh Tempo.co.

    Siti Nurbaya membuat dakwaan itu di sebalik pengesanan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) yang menunjukkan bahawa jerebu di Semenanjung Malaysia berasal dari Sumatra manakala jerebu di Sarawak pula berasal dari Kalimantan.

    Pengesanan ASMC, yang berdasarkan data dari Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) Amerika Syarikat tidak menunjukkan sebarang jerebu yang merentas Laut China Selatan antara Malaysia Timur dan Barat.

    Pengesanan sehingga semalam, menunjukkan titik panas yang meluas di Sumatera dan Kalimantan dengan kesan jerebu yang teruk tertumpu di kedua-dua wilayah itu.

    Siti berkata beliau akan menulis kepada Malaysia supaya memastikan negara ini mendapat gambaran yang betul.

    "Saya akan menulis surat kepada duta besar Malaysia di Jakarta untuk diteruskan (disampaikan) kepada menterinya. Jadi, saya kira supaya yang betul datanya.

    “Pemerintah Indonesia sudah betul-betul secara sistematik mencuba menyelesaikan ini dengan sebaik-baiknya. Tidak semua kabut asap (jerebu) berasal dari wilayah Indonesia," katanya.

    Semalam, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Yeo Bee Yin mengulangi kebimbangan negara mengenai masalah jerebu rentas sempadan semasa pertemuan dengan Menteri Penasihat Kedutaan Indonesia Agus Badrul Jamal dan Kaunselor Penerangan dan Sosial Budaya Agung Cahaya Sumirat.


    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih