malaysiakini logo
story-image
ADS

Kerajaan Kelantan melihat cadangan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad supaya tanah-tanah pesawah padi digabungkan sebagai idea menarik.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Abdullah, bagaimanapun berkata cadangan itu perlu disertakan dengan kajian terperinci oleh pihak berkaitan seperti Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada).

"Cadangan itu menarik, cuma sepatutnya inisiatif itu datang daripada pihak yang bertanggungjawab sebab kita ada Mada, Kada, kita ada jabatan pertanian. Sepatutnya mereka dahului cadangan yang baik ini.

"Malah sekiranya usaha itu dibuat kajian secara teliti dan terperinci, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama.

"Kajian itu penting bagi melihat kelebihan dan kelemahan memandangkan tanah sawah berkenaan milik individu," katanya kepada media selepas mesyuarat exco di Majlis Daerah Tanah Merah (MDTM), Tanah Merah, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir melontarkan idea supaya pesawah keci menggabungkan tanah milik mereka bagi dijadikan ladang padi yang diurus secara profesional dan menjana lebih banyak pendapatan.

Menurut beliau, jika usaha itu tidak dilakukan, pesawah kecil akan terus menjadi antara rakyat termiskin di negara ini yang bergantung kepada subsidi dalam penanaman sawah.

Sehubungan itu Mohd Amar berkata, pelaksanaan itu perlu kerjasama daripada pesawah dan persetujuan pemilik tanah.

"Kita tengok sawah sekarang ini dilaksana secara individu, hasilnya mungkin tidak besar. Kalau digabungkan mungkin boleh jadi ladang.

"Itu idea menarik dan boleh dibincangkan," katanya.

Lihat Komen