Pengiklanan

    Kebakaran hutan di Johor berpunca cuaca panas

    (Dikemaskini )
    Berita

    Cuaca panas yang berpanjangan dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini dilihat sebagai punca kebakaran hutan berskala besar di beberapa kawasan di negeri ini.

    Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor Yahaya Madis berkata kekurangan hujan di negeri ini juga disifatkan menjadi satu halangan bagi anggota bomba untuk memadamkan kebakaran lebih cepat daripada biasa.

    Beliau berkata kebakaran hutan berskala besar yang berlaku di negeri ini membabitkan tiga kawasan iaitu di Muar, Pontian dan Gelang Patah.

    “Antara kawasan ‘hot spot’ kebakaran yang berlaku membabitkan 20 hektar kawasan hutan di Muar, yang mana sekarang sudah 60 peratus dipadamkan manakala kebakaran hutan di Pontian melibatkan kawasan seluas 30 ekar (12 hektar), dengan sebanyak 70 peratus dipadamkan.

    “Selain itu, di Gelang Patah, kita maklum yang operasi kebakaran sudah ditamatkan," katanya kepada pemberita selepas selesai Majlis Ikrar Bebas Rasuah bagi pegawai dan anggota JBPM Johor, di Johor Bahru, hari ini.

    Hadir sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor Norazlan Mohd Razali.

    Yahaya bagaimanapun berkata kebakaran yang berlaku di negeri ini masih lagi terkawal dan boleh diuruskan tanpa memerlukan campur tangan daripada peringkat persekutuan.

    “Setakat ini, kita masih gunakan aset dalaman daripada Johor, selain dibantu agensi-agensi seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

    “Jadi kita belum sampai mahu minta bantuan daripada pusat, maknanya masih boleh diuruskan di peringkat negeri,” katanya.

    Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak melakukan kegiatan pembakaran secara terbuka khususnya ketika negeri ini kurang menerima taburan hujan selain mengingatkan semua pihak memainkan peranan bagi memastikan kebakaran tidak berlaku di kawasan masing-masing.

    Katanya, sebarang tindakan yang boleh mencetuskan api perlu dicegah dengan sebaik mungkin meskipun aktiviti itu hanya untuk tujuan pembersihan sampah atau sebagainya.

    “Saya ingin menasihatkan orang ramai waktu ini bukan masa sesuai untuk membuat pembersihan kebun dan kawasan dengan cara pembakaran terbuka kerana dengan pembakaran yang sengaja dilakukan walaupun kecil boleh jadi satu kebakaran besar yang boleh mengancam udara sekeliling,” katanya.

    - Bernama

    Tukar kepada versi desktop untuk bacaan lebih baik.

    Tukar sekarang Tidak, terima kasih