malaysiakini logo
story-image
mk-logo
Berita
Jerebu Rompin: Kualiti udara sangat tidak sihat
Diterbitkan:  Sep 11, 2019 8:39 AM
Dikemaskini: 12:45 AM
ADS

Kualiti udara di Rompin, Pahang mula menerjah kategori sangat tidak sihat dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) 202 setakat 10 malam tadi.

Rompin merupakan satu-satunya kawasan di seluruh Malaysia dengan bacaan IPU sangat tidak sihat, menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Selain Pahang, beberapa kawasan di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sarawak mencatat IPU tidak sihat yang dikaitkan dengan fenomena jerebu yang melanda sekarang.

Kawasan terjejas ialah Batu Muda (151) dan Cheras (147) di Kuala Lumpur; Putrajaya (144); dan Petaling Jaya (141), Shah Alam (131), Klang (114), Banting (124) serta Johan Setia Klang (159) di Selangor.

Selain itu bacaan IPU tidak sihat turut direkodkan di Nilai (148), Seremban (124) dan Port Dickson (113) di Negeri Sembilan; Alor Gajah (108), Bukit Rambai (109) dan bandaraya Melaka (102) di Melaka; dan Tangkak (125) di Johor.

Tiga kawasan di Sarawak pula tidak banyak berubah malam ini dan masih mencatat IPU tidak sihat iaitu Sri Aman (172), Samarahan (135) dan Kuching (161).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas (bahaya).

- Bernama

Lihat Komen